Raut wajah Nurlyana Soberi mungkin akan meredupkan dan mencuri pandangan mana-mana jejaka yang memandangnya.
Tambahan pula beliau merupakan seorang yang tangkas ketika beraksi di padang serta gelanggang futsal.
Minat yang mendalam terhadap bola sepak dan futsal sejak kecil membuatkan Nurlyana memilih untuk terlibat secara serius dalam dua sukan tersebut.
Tetapi sebelum itu, sudah pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangannya Nurlyana ini?
Siapa sebenarnya Nurlyana Soberi?
Nurlyana yang berasal dari Seberang Perai pernah membarisi skuad bola sepak wanita kebangsaan ketika menghadapi Kejuaraan Bola Sepak Wanita AFF 2018 di Palembang, Indonesia.
Pemain yang mesra dengan panggilan ‘Yana’ dalam kalangan rakan sepasukan itu berjaya membantu Kedah menjuarai Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 dan naib juara edisi 2017.
Setelah mengecapi kejayaan bersama Kedah, beliau kini telah beralih angin baharu ke sukan futsal untuk beraksi buat Perak yang akan bersaing dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia 2019.
Impian jadi kenyataan pada tahun 2017
Minatnya terhadap bola sepak sejak kecil itu diserikan lagi dengan kejayaan menyarung jersi skuad wanita Kedah sebaik sahaja menamatkan zaman persekolahan.
Semuanya bermula apabila beliau menyertai sesi pemilihan pemain yang sekaligus terpilih menyertai skuad wanita Kedah bagi menghadapi Piala Tun Sharifah Rodziah 2017.
Peluang keemasan yang diraih tidak disia-siakan dan Nurlyana tidak memandang ke belakang bagi menjadi antara pemain sandaran dalam membantu Kedah ke perlawanan akhir edisi 2017 dan menjuarai saingan 2018.
Di sebalik wajah dan perwatakan lembut Yana
Di sebalik raut wajah serta perwatakan lembut, gadis berusia 20 tahun ini mempunyai karisma sebagai seorang pemain berkualiti terutamanya dalam bola sepak.
Dinilai sebagai seorang pemain yang memiliki kawalan bola cukup baik dan lincah, senjata utama Nurlyana ketika beraksi adalah ‘through pass’ dijelmakannya mampu memberikan kesukaran buat lawan.
Dalam pada itu perwatakan lembut Nurlyana ketika di luar padang langsung tidak mengganggu tumpuannya bagi menjadi salah seorang pemain yang begitu ‘commanding’ dan tegas di atas padang.
Secara peribadi, Nurlyana sendiri mengakui bahawa apa sahaja perwatakan sekalipun tidak menjadi masalah sekiranya seseorang pemain itu dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap minat mereka.
”Apa yang kita usahakan sehabis baik, kita akan mendapat hasilnya. Penampilan dan perwatakan memang tidak menjadi halangan buat saya pada ketika ini untuk meningkatkan prestasi,” ujar Nurlyana ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA.
Perbezaan bola sepak dan futsal dari kaca mata Nurlyana
Mengulas mengenai perbezaan kedua-dua sukan ini, Nurlyana berpendapat bahawa sukan futsal lebih pantas dari segi corak permainan dan dalam membuat keputusan.
Dengan sukan futsal dibenarkan melakukan ‘rolling subtitution’ bagi membolehkan seseorang pemain mengambil masa untuk berehat dan bola sepak beraksi di padang yang lebih besar, beliau melihat stamina tinggi amat diperlukan dalam bola sepak.
Persiapan raya
Bersempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma esok, Semuanya BOLA sempat juga bertanyakan kepada Nurlyana soalan berkenaan persiapan menyambut hari lebaran.
”Persiapan terutamanya dari segi pakaian telah disediakan dengan lebih awal. Seperti biasa, saya memilih baju kurung dan tudung mengikut tema keluarga seperti kebiasaannya.”
Rumusan
Seperti yang diperkatakan oleh Nurlyana, penampilannya yang bertudung dan perwatakan lembut tidak menjadi masalah buatnya untuk aktif dalam sukan.
Ia mampu untuk menjadi pemangkin kepada ramai lagi atlet dengan imej bertudung dan berperwatakan ‘perempuan’ untuk terlibat dengan serius dalam bola sepak dan futsal khususnya.