Perlawanan akhir Liga Europa 2018/19 yang menemukan Arsenal dan Chelsea bakal memberikan makna cukup mendalam buat penjaga gol berpengalaman The Gunners, Petr Cech.
Seperti yang telah diumumkan penjaga gol berusia 36 tahun itu pada Januari lalu, beliau memilih untuk bersara pada penghujung musim ini.
Secara kebetulan dan lebih menarik apabila aksi menentang Chelsea di Baku, Azerbaijan tersebut adalah perlawanan terakhir buat Cech dalam karier profesional beliau.
Keadaan yang pasti akan menggamit nostalgia buat Petr Cech terhadap bekas kelabnya yang turut berpangkalan di kota London itu.
Petr Cech berkelana ke London pada Julai 2004 yang menyaksikan beliau direkrut Chelsea daripada Stade Rennais (Rennes).
Sepanjang bersama Chelsea, Cech telah berjaya menempa karier gemilang apabila membantu kelab tersebut menjuarai Liga Juara-Juara Eropah 2011/12 dan Liga Europa 2012/13.
Dalam saingan domestik pula, empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat trofi Piala FA dan tiga Piala Liga berjaya dirangkul bekas penjaga gol antarabangsa Republik Czech itu.
Kehadiran Thibaut Courtois menyebabkan peluang Cech untuk beraksi amat terhad dan beliau mengambil keputusan berhijrah ke Arsenal pada musim 2015/16.
Ketika ditanya wartawan sewaktu aksi di Stamford Bridge masih berlangsung di masa tambahan, ini adalah respon Cech terhadap bekas pasukannya:
”Saya tidak mempunyai pilihan pasukan mana yang akan kami temui pada perlawanan akhir. Pasukan yang berjaya layak ke perlawanan akhir sentiasa berhak untuk itu.”
”Ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa untuk menamatkan karier jika saya dapat beraksi pada perlawanan akhir Liga Europa menentang bekas pasukan saya (Chelsea).”