Dua Anak Muda Dari Malaysia Ini Cipta Nama Beraksi Dalam Thai E-League Pro

Beraksi secara professional di liga luar negara sememangnya menjadi impian setiap pemain bola sepak tempatan terutamanya dalam kalangan belia yang berusia bawah 25 tahun. Namun berbeza dengan dua anak muda ini apabila mereka memilih untuk bermain dengan kelab bola sepak professional Thailand dalam kategori eSports.

Mereka adalah Muhammad Khairul Abdul Aziz (Keron) dan Mohamad Norhaikal Mohamad Noh (Haikal) yang kini sedang mencipta nama beraksi dalam saingan Thai E-League Pro melalui permainan Pro Evolution Soccer (PES).

Dua nama ini mungkin kurang dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan namun jika anda pernah mengikuti perkembangan Sukan Asia di Palembang tahun lepas pasti mengenali mereka sebagai wakil negara yang bersaing dalam acara eSports.

Walaupun acara tersebut tidak menawarkan sebarang pingat dan hanya sebagai pertandingan demonstrasi, namun mereka berdua berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih kedudukan empat terbaik dalam kalangan negara Asia yang lain.

Berkat kejayaan dalam Sukan Asia tersebut, mereka berdua didekati oleh seorang ejen dan berjaya mendapat kontrak professional selama dua tahun bersama kelab esports dari Thailand, MS Cerberus Esports Team (MSC).

Keron dan Haikal mewakili negara dalam Temasya Sukan Asia tahun lepas.

Apakah itu Thai E-League Pro?

Thai E-League Pro atau kini dikenali sebagai Toyota E-League merupakan sebuah kejohanan esports PES yang melibatkan kelab-kelab bola sepak professional daripada Liga Thailand.

Liga ini berlangsung sejak bulan November tahun lepas dan merupakan satu-satunya Liga eSports professional secara rasmi di Asia Tenggara dengan kerjasama daripada KONAMI dan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT). Ini merupakan sesuatu yang tidak ada di Malaysia dan jelas sekali liga tempatan kita sudah jauh ketinggalan.

Setiap kelab bola sepak professional di Thailand akan menghantar 7 pemain yang berpengalaman untuk bertanding dalam Liga eSports mereka. Malah, setiap pasukan ini juga dibenarkan menyenaraikan pemain import yang datang daripada pelbagai negara termasuk Malaysia.

Namun pada musim ini, hanya 10 buah kelab telah menghantar wakil mereka untuk bertanding dalam Liga eSport PES iaitu Buriram United, Ratchaburi, Port FC, Police Tero, Chiangmai, True Bangkok, Chonburi FC, Nakhon Ratchasima, Bangkok Glass dan Chainat Hornbill.

Keron mewakili kelab daripada liga divisyen dua, Police Tero FC manakala Haikal pula mewakili kelab daripada liga utama Thailand, Port FC yang kini sedang menghuni kedudukan teratas liga dengan 20 mata.

Haikal (dua dari kanan) bergambar bersama barisan pemain eSports kelab Port FC bersama pemilik kelab itu iaitu Madam Pang (Baju Kuning).

Rutin harian ketika berada di Thailand

Ketika ditanya oleh penulis mengenai rutin harian sepanjang berada di sana, Haikal menjelaskan mereka sebenarnya tidak menetap di Thailand dalam tempoh masa yang lama tetapi hanya datang ke Bangkok setiap seminggu sekali atau dua kali seminggu bergantung pada jadual perlawanan.

Malah mereka juga dibayar gaji secara bulanan dan diberi tempat penginapan, pengangkutan serta tiket penerbangan disediakan sepenuhnya oleh ejen iaitu pihak MSC. Mereka juga perlu berlatih seawal jam 10 pagi hingga 6 petang tetapi ia bukanlah sesuatu yang seperti orang fikirkan.

“Kami akan menghabiskan masa kami dengan bermain game dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan bukan setiap masa kami bermain game, ada masa kami menonton game yang lepas dan berbincang strategi perlawanan.

“Pengangkutan dan penginapan semuanya telah disediakan. Untuk makanan, disebabkan kami muslim, susah sedikit untuk mencari makanan halal. Alhamdulilah, sekarang dah senang nak jumpa,” kata bekas pelajar Universiti DRB Hicom tersebut.

Mohamad Norhaikal Mohamad Noh (Haikal) mewakili pasukan Port FC.

Sementara itu, Keron menceritakan sepanjang berada di Bangkok, mencari makanan halal merupakan cabaran utama dan mereka perlu mengikut jadual harian yang ditetapkan oleh MSC.

“Waktu berlatih bermula diawal pagi pada hari biasa iaitu hari tiadanya perlawanan, kami akan berlatih beramai-ramai seperti dalam jadual yang sudah di tetapkan.

“Dari segi makanan pula secara umum tahu agak mencabar buat kami yang beragama islam untuk mendapatkan makanan halal tetapi syukurlah sekarang lebih mudah setelah berpindah ke pusat latihan yang baru dimana terdapat banyak kedai muslim di sekitarnya.

“Dari segi pengangkutan, apabila tibanya waktu perlawanan, semuanya sudah disediakan oleh MSC dan kami akan pergi beramai2 ke stadium eSports bagi menghadapi perlawanan sebenar. Dari segi penginapan memang tiada masalah kerana semuanya sudah disediakan dengan baik dan selesa oleh MSC,” jelasnya.

Muhammad Khairul Abdul Aziz (Keron) mewakili pasukan Police Tero.

Perbezaan kualiti pemain Thailand dengan Malaysia dalam permainan PES

Keron yang juga anak jati Perlis itu mengakui kagum dengan kualiti pemain lawan yang dihadapi sepanjang beraksi dalam Liga eSport tersebut. Beliau menyifatkan terdapat jurang yang amat ketara dari segi kemahiran dan corak permainan.

“Berdasarkan pengalaman saya, permainan PES di Thailand semakin membangun dan maju kerana pada musim ini banyak penaja dari nama-nama besar antaranya Toyota yang selalunya menaja sukan bola sepak kini memberi kerjasama membangunkan arena esukan PES di sana berbanding musim terdahulu.

“Malah, segala peralatan dan sistem turut ditingkatkan bahkan banyak kelab yang ingin mencari pemain pro esukan PES ini bagi membantu menaikkan nama kelab masing-masing.

“Dari segi permainan, saya dapati jurang perbezaan antara pemain seperti kebolehan, kemahiran, kemampuan dan kejayaan yang mungkin di malaysia kita nampak macam dah bagus, tetapi di Thailand semuanya lebih baik berbanding di Malaysia.

“Tidak bermaksud pemain tempatan lemah tetapi masih berada di tahap yang perlu lebih ditingkatkan dari segi permainan, taktikal dan pengawalan bola di dalam game,” tambahnya.

Keron pernah beraksi untuk Port FC pada musim lepas.

Beliau yang pernah tersenarai sebagai penjaring terbanyak play off musim lepas bersama pasukan Port FC bersyukur kerana mendapat peluang bermain di peringkat professional secara kompetitif dan tekad untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi di masa hadapan.

“Sejujurnya kami tidak percaya mampu diberi peluang dan kepercayaan bermain ditahap ini serta membawa nama besar di Thailand. Saya berharap Malaysia menjadikan esukan negara ini sebagai contoh untuk meningkatkan ekonomi serta membawa nama Malaysia di mata dunia seterusnya memberi peluang buat pemain-pemain PES tempatan turut merasai pengalaman yang kami rasai ini,” ujarnya.

Haikal mahu bermain untuk pasukan JDT

Anak muda yang berusia 21 tahun ini berharap suatu hari nanti Malaysia E-League Pro dapat diwujudkan untuk menarik minat generasi baharu mengikut perkembangan pasukan tempatan sekaligus menarik minat syarikat besar untuk menaja Liga Malaysia.

“Di dalam PES tiada liga malaysia, mungkin tiada usaha dari pihak yang berkenaan untuk mewujudkan liga malaysia dalam PES. Di Thailand komuniti mereka mendapat sokongan yang kuat daripada penaja-penaja besar yang merpercayai mereka dan sekarang, Thai E-League Pro sudah dinamakan semula kepada Toyota E-League.

“Mungkin dengan adanya kami yang bermain di Liga Thailand ini akan menjadi contoh di Malaysia supaya dapat mewujudkan Liga Malaysia dalam PES. Komuniti PES di Malaysia lebih kuat dan sentiasa berkembang,” katanya.

Haikal bersama rakan sepasukan dalam Port FC.

Pada masa yang sama, beliau menyimpan impian untuk beraksi dengan juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) jika diberi peluang untuk menyertai pasukan tempatan dalam Liga eSports Malaysia.

“Semestinya Johor Darul Takzim (JDT) sebab saya anak jati Johor, saya akan buktikan kepada kelab saya yang esport ni ada masa depan yang cerah dan JDT merupakan sebuah kelab yang besar di Asia. Saya bangga menjadi bangsa johor,” katanya.

Perlu ada mental yang kuat jika mahu beraksi di pentas tertinggi dalam dunia eSports

Esports adalah satu cabang yang berkembang di seluruh dunia dan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mengiktirafnya. Komuniti PES di Malaysia semakin membesar dan setiap bulan kita menyaksikan beberapa bakat baharu dipilih mewakili negara di pentas antarabangsa.

Haikal menasihatkan mereka yang baru berjinak dalam permainan PES secara serius tidak melupakan pelajaran jika masih berada di bangku sekolah atau universiti.

“Bagi saya, untuk yang baru nak main pes, kalau yang masih belajar fokus belajar dahulu. Kena ada pendidikan yang kukuh sebab main game ni tak semestinyaa selalu menang.

“Kalau betul nak berjaya main PES, kena betul betul fokus dan belajar daripada orang yang lebih tahu,” jelasnya.

Keron pula berpendapat untuk bermain secara professional dalam eSports ini perlu ada jiwa yang kuat dan mentaliti untuk berjaya di peringkat tertinggi.

“Perkara yang paling utama ialah minat yang mendalam dan mempunyai jiwa yang sangat kuat dalam sukan PES ini kerana ianya memerlukan kemahiran dan kebolehan yang sangat tinggi sekiranya ingin bermain di peringkat yang lebih tinggi.

“Latihan yang sangat rapi dan berterusan juga amatlah perlu dititik beratkan kerana kita boleh belajar teknik-teknik dan kemahiran yang mungkin orang lain tidak pelajari namun kita lebih arif tentang sesuatu perkara,” tambahnya.

Kami di SemuanyaBOLA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhamad Khairul Abdul Aziz dan Mohd Haikal atas kejayaan mereka selama ini dan mendoakan mereka berjaya mencapai objektif pasukan masing-masing dalam saingan Liga Thailand.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN