Pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil merasakan yang penyumbang kepada kekalahan 0-2 skuadnya dalam aksi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 malam tadi adalah ‘menghadiahkan’ penalti mudah kepada kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Gol penalti Diogo pada minit ke-38 itu hasil kesilapan pertahanan tengah, Thiago Junio yang dilihat mengasari pertahanan kiri JDT, Corbin Ong ketika bertukar-tukar hantaran bersama Diogo.
Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Nidzam Jamil menyatakan yang penalti tersebut mengubah segalanya dan beri banyak kesan perbezaan selepas gol tersebut dihasilkan.
“Saya rasa penyumbangnya adalah penalti yang tidak sepatutnya kita bagi. Sebab kalau kita main dengan kelab macam JDT, kita tidak boleh bagi penalti yang naif, penalti itu agak naif.
“Saya bersetuju pengadil memberikan penalti tetapi mungkin kita boleh memperbaiki daripada kesilapan tersebut,” jelas Nidzam Jamil mengenai punca kekalahan skuadnya kepada JDT.
Gol tersebut jelas meningkatkan semangat JDT untuk mengawal sepenuhnya perlawanan walaupun The Fighters dilihat bertahan dengan hampir keseluruhan skuad dan hanya meletakkan Azim Rahim ditinggalkan di atas – menanti potensi serangan balas.
Pengendali berusia 39 tahun itu juga telah mempersembahkan variasi pendekatan taktikal bagi mengekang dan juga memburu gol namun baginya skuadnya ‘tewas’ dari segi pengalaman.
“Sebab mereka JDT, gergasi Asia saya boleh katakan, mereka kelab besar. Kita banyak pemain-pemain yang tiada pengalaman dan baru bermain. Tetapi kita cuba bersaing dengan mereka.
“Kita tukar beberapa perancangan, kita tukar taktik, kita lebih terbuka tetapi kita tidak boleh terlalu terbuka menentang mereka sebab akhirnya mereka hukum kita dengan satu gol lagi.
“Tetapi 100 kali saya ingin katakan, kita kena kurangkan kesilapan-kesilapan kecil seperti memberi penalti, lambat setengah meter untuk bertahan sebab ini Liga Super,” tambahnya lagi.
Kekalahan tersebut menyaksikan Felda United kekal di kelompok bawahan liga bersama-sama Kuala Lumpur namun masih tidak jauh dari segi mata dengan pasukan-pasukan di pertengahan liga.
Selain itu, Felda United kini telah merekodkan 7 perlawanan tanpa kemenangan dan ini mungkin bakal diteruskan kerana The Fighters bakal melalui 4 perlawanan sukar selepas ini menentang Melaka United, Terengganu FC, Pahang dan PKNS FC.