66 perlawanan telah berlangsung selama 11 minggu sejak Liga Super Malaysia (MSL 2019) bermula pada awal Februari lalu.
172 gol telah dijaringkan, dengan purata 2.6 gol dijaringkan di setiap perlawanan – setakat ini berjaya merancakkan saingan 12 pasukan yang bersaing di divisyen teratas bola sepak negara.
Berikut pula adalah senarai kesebelasan utama pemain pilihan kami setelah pusingan pertama MSL 2019 melabuhkan tirai pada Ahad lalu. Pemilihan adalah berdasarkan formasi 3-4-3.
Penjaga gol: Mohd Ifwat Akmal (Kedah FA)
Kedah kini berkongsi gelaran bersama Pahang sebagai pasukan yang paling sedikit bolos, apabila hanya melepaskan tujuh gol setakat ini. Ini bermakna Mohd Ifwat Akmal dan Helmi Eliza terikat dari segi jumlah gol dibolosi.
Namun penjaga gol berusia 22 tahun ini menjadi pilihan kami berdasarkan kecemerlangan beliau di dalam beberapa situasi menyelamatkan percubaan penyerang pasukan lawan, sehingga menerima anugerah pemain terbaik PFAM-asiana.my – All Sports Images And News Agency bagi bulan Mac yang lalu.
Pertahanan tengah: Nicholas Swirad (PKNS FC)
Pemain darah kacukan Inggeris-Malaysia ini menampilkan prestasi memberangkan sejak menyertai skuad PKNS FC pada musim ini. Tampil dalam 10 perlawanan untuk skuad kendalian Datuk K. Rajagopal, Swirad turut menyumbangkan 2 gol – selain turut membentuk persefahaman yang mantap bersama Rodney Calvin, Tamirlan Kozubaev, dan Qayyum Marjoni sebagai pilihan pertama di bahagian benteng.
Prestasi cemerlang beliau turut mendapat perhatian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sehingga dipanggil buat kali pertama menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya untuk menghadapi Piala AIRMARINE 2019. Malangnya Nicholas terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana kecederaan.
Pertahanan: Herold Goulon (Pahang)
Tidak boleh dinafikan, Herold Goulon adalah antara pembelian pemain import paling berbaloi oleh pasukan di Liga Malaysia pada musim ini. Kaya dengan pengalaman, pemain kelahiran Perancis ini adalah nadi penting benteng pertahanan Pahang, bergandingan dengan Muslim Ahmad.
Susuk tubuh yang tegap memberikan kelebihan fizikal buat pemain ini. Bukan sahaja mampu melakukan tugas di benteng, Goulon juga merupakan ancaman kepada benteng pertahanan lawan – sepertimana yang dibuktikan melalui perlawanan menentang JDT. 4 gol jaringan beliau di MSL 2019 menjadikan beliau pemain pertahanan dengan jaringan tertinggi setakat ini.
Pertahanan: Adam Nor Azlin (JDT)
Adam Nor Azlin telah tampil dalam 10 perlawanan untuk JDT pada musim ini. Tiga daripada penampilan tersebut adalah sebagai pemain gantian. JDT memiliki beberapa pemain berpengalaman di posisi sama, seperti Fadli Shas dan Aidil Zafuan. Namun demikian kematangan Adam sejak bermulanya musim ini pasti menjadikan beliau antara pilihan utama untuk bergandingan dengan Mauricio.
Pada usia 23 tahun, Adam belum lagi ‘artikel lengkap’. Namun ‘ball playing defender’ ini telah membuktikan dirinya mampu bersaing untuk merebut tempat didalam skuad elit skuad Harimau Selatan ini. Sudah tentu ia adalah masalah yang positif untuk Luciano Figueroa.
Pemain Tengah Bertahan: Afiq Fazail (JDT)
Afiq Fazail boleh disifatkan sebagai produk anak jati terbaik yang JDT pernah hasilkan. Merupakan seorang pemain tengah bertahan, kebiasaanya, Afiq bergandingan dengan Harris Harun di bahagian tengah.
Pada musim ini, Afiq telah tampil dalam 11 perlawanan – lima daripadanya sebagai pemain gantian. Aksi dan prestasi beliau yang meyakinkan dalam menggerakan jentera tengah JDT membuatkan ketiadaan Natxo Insa yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan tidak dirasai.
Pemain Tengah Kanan: Patrick Reichelt ( Melaka United)
Gigi, rajin dan sentiasa berusaha keras. Mungkin itulah ungkapan terbaik untuk menggambarkan aksi Patrick Reichelt bersama Melaka United setakat ini. Walaupun Melaka United dibanjiri dengan nama-nama besar termasuk pemain import seperti Cassagrande dan Liridon Krasniqi, Patrick berada di kelas tersendiri dan membuktikan beliau adalah pembelian paling berbaloi.
Pemain antarabangsa Filipina ini beraksi sebagai pemain kesebelasan utama di dalam skuad Zainal Abidin Hassan setakat ini – beraksi 90 minit maksimum di setiap 11 perlawanan membabitkan Melaka United di saingan MSL 2019. Beliau turut menyumbangkan 4 gol setakat ini.
Pemain Tengah Kiri: Hadin Azman (Felda United)
Nama Hadin Azman merupakan antara nama pertama yang berada di dalam kesebelasan utama kami, selepas aksi cemerlang beliau bersama Felda United sejak awal musim. Hadin telah menampilkan prestasi meyakinkan dan matang memikul tanggungjawab sebagai kapten, dengan gol-gol penting yang menjadi inspirasi untuk pasukan.
Beliau telah menjaringkan tiga gol di saingan MSL 2019, hasil dari lapan penampilan dan kini harus berehat akibat kecederaan lutut kiri. Ketiadaan Hadin sedikit sebanyak dirasai oleh Felda dan pengendali pasukan, Nidzam Jamil.
Pemain Tengah Menyerang: Lee Tuck (Terengganu FC)
Ia bukan musim yang dikehendaki oleh penyokong jika kedudukan Terengganu FC di carta MSL pada musim ini dijadikan ukuran. Mengekalkan hampir keseluruhan skuad yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu, prestasi tidak menentu skuad penyu sedikit sebanyak mengecewakan pasukan dari pantai timur ini.
Namun satu perkara positif mengenai Terengganu pada musim ini ialah sikap profesional pemain tengah, Lee Tuck yang tetap berusaha menampilkan prestasi terbaik di setiap perlawanan. Sehingga kini, pemain kelahiran England ini telah menyumbang 4 bantuan gol – tertinggi di MSL 2019 – dari lapan penampilan bersama Terengganu.
Penyerang: Diogo Luis Santo (JDT)
Pemain ini sememangnya berjaya menepati reputasi sebagai pemain termahal MSL – jika artikel daripada GOAL ini menjadi rujukan. Bekas pemain Buriram ini dilaporkan kurang cergas pada awal musim. Namun ia tidak menghalang barisan kejurulatihan JDT menurunkan beliau di dalam 11 perlawanan yang dilalui setakat ini.
Sehingga kini, Diogo bukan sahaja telah menghasilkan lima gol untuk skuad Harimau Selatan. Tajam di bahagian depan, Diogo juga turut menyumbangkan tiga bantu
an gol untuk rakan sepasukan setakat inil. Satu perkara yang pasti, kehadiran Diogo telah menambahkan dinamik kepada corak serangan JDT pada musim ini.
Penyerang: Gonzalo Cabrera (JDT)
Bagi kami, Gonzalo Cabrera adalah pemain paling konsisten pada musim ini. Tatkala adakalanya mengalami saat sukar di dalam perlawanan, Cabrera tampil dengan semangat melawan dan ‘no nonsense approach’ yang dimiliki beliau.
Musim ini, Cabrera telah beraksi di dalam semua 11 perlawanan MSL membabitkan pasukan JDT. Lapan gol dijaringkan setakat ini menjadikan beliau sebagai pendahulu penjaring terbanyak MSL 2019.
Penyerang: Giancarlo Lopes (PJ City & PKNP FC)
Giancarlo Lopes Rodriguez boleh disifatkan sebagai penyerang import paling ‘underated’ memperagakan aksi di saingan Liga Malaysia pada musim ini. Pemain kelahiran Brazil ini adalah juga telah tampil di dalam 11 perlawanan – beraksi setiap 90 minit untuk pasukan yang diwakilinya setakat ini.
Menarik mengenai Giancarlo ialah beliau pada mulanya dibawa masuk oleh PJ City. Hanya selepas tiga perlawanan dan satu gol – pemain ini menyertai PKNP FC sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup pada Mac lalu. Giancarlo adalah seorang tipikal ‘target man’ yang menggunakan kekuatan fizikal untuk mengancam kubu lawan. Sehingga kini, beliau telah menjaringkan lima gol – menjadikan nama beliau setanding penyerang import lain seperti Diogo Santo, Dickson Nwakaeme dan lain-lain.
Skuad simpanan Semuanya BOLA
Berikut pula adalah senarai skuad simpanan pilihan Semuanya BOLA.
Penjaga gol: Helmi Eliza (Pahang),
Pertahanan: Shakir Hamzah (Kedah), Syahmi Safari (Selangor),
Pemain Tengah: Sadil Ramdani (Pahang), Romel Morales (PKNS FC),
Penyerang: Safawi Rashid (JDT), Dickson Nwakaeme (Pahang)