Seperti ramalan ramai, Norwich City sudah sah kembali ke Liga Perdana Inggeris untuk musim hadapan. Malam tadi, mereka menewaskan Blackburn Rovers di hadapan penyokong sendiri.
Garang
Norwich mendahului gol seawal minit ke-13 melalui Marco Stiepermann. Kemudiannya, Mario Vrancic menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-21.
Pelawat merapatkan skor dengan gol yang dijaringkan oleh Lewis Travis pada 2 minit kemudian. Kedudukan 2-1 ini kekal sehingga tamat masa perlawanan.
Ketika ditemubual Sky Sports News, Daniel Farke mengatakan ia momen penuh kegembiraan dan penuh kebanggaan. Farke sendiri mengakui bahawa EFL Championship antara liga yang paling sukar di dunia.
Sedang menunggu
Walaupun menang malam tadi, Sheffield United terpaksa menunggu keputusan perlawanan antara Leeds dengan Aston Villa pada Ahad.
The Blades menewaskan Ipswich Town melalui gol Scott Hogan dan Jack O’Connell. Hogan menjaringkan gol pada minit ke-24 dan O’Connell pada minit ke-71.
Sheffield United kekal mendahului Ipswich Town 2-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Rebut trofi
Sekiranya Leeds gagal menewaskan Aston Villa, Sheffield United pula akan dipromosi. Walau bagaimanapun, jika Leeds menang, mereka agak sukar mencabar slot automatik disebabkan defisit gol.
Sekurang-kurangnya Leeds perlu menang baki dua perlawanan terakhir dengan menjaringkan 13 gol tanpa bolos! Mustahil bukan?
Tambah menarik, gelaran juara EFL Championship akan menjadi persaingan dua pasukan.
Dua pasukan yang dimaksudkan tak lain tak bukan ialah Norwich City dengan Sheffield United.
Jika Norwich meraih minimum 1 mata pada perlawanan menentang Aston Villa pada minggu hadapan, mereka akan dimahkotakan kejuaraan EFL Championship.
Tetapi mesti ramai mahukan Leeds kembali.