Mauricio Pochettino berpendapat bahawa peledak utama pasukan, Harry Kane bersedia untuk aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sekiranya Tottenham Hotspur berjaya melepasi cabaran Ajax Amsterdam.
Kane mengalami kecederaan buku lali pada aksi separuh akhir pertama bertemu Manchester City dan dikhabarkan akan terlepas aksi musim ini.
Bagaimanapun, Pochettino masih mengharapkan agar Kane dapat membantu pasukan jika Spurs menempah tiket ke final di Madrid pada 2 Jun nanti.
”Sekiranya anda bertanyakan kepada saya hari ini, perasaan saya mengatakan dia (Harry Kane) akan bersedia untuk diturunkan.”
”Kerana saya mengenali Harry Kane, dia bekerja keras ketika bekerja dan fokus untuk sembuh secepat yang mungkin.”
”Tetapi saya bukan doktor. Ini adalah hanya perasaan saya sahaja. Saya merasakan dia melakukan (pemulihan) dengan cukup baik tetapi hari ini saya tidak dapat meneka.”
”Dia akan bersedia sebelum atau selepas. Ia bergantung kepada proses pemulihannya.”
”Sekarang dia berada dalam tempoh yang sangat baik untuk terus melangkah dengan pantas. Tetapi sentiasa menjadi perkara terakhir yang sukar untuk dibuat – untuk membuat keputusan sama ada menurunkannya atau tidak.”
Sepanjang ketiadaan Kane, Mauricio Pochettino menyandarkan harapan buat Fernando Llorente bagi mengemudi bahagian serangan pasukan.