Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bahawa anak buahnya perlu mempamerkan aksi konsisten dalam usaha mencabar kejuaraan musim hadapan sekaligus bersaing dengan Manchester City dan Liverpool.
Sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan pasukan pada tahun 2013, skuad The Red Devils itu masih belum mampu untuk meraih sebarang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Manchester United ketika ini ketinggalan 24 mata di belakang Liverpool yang berkelebihan satu perlawanan dan anak buah Solskjaer akan berdepan Manchester City, awal pagi nanti.
Menurut pengendali kelahiran Norway itu, konsisten jelas menjadi kunci buat anak buahnya untuk menjadi sebagai antara pesaing bagi merebut kejuaraan EPL.
Ketika ditanya wartawan mengenai peluang Manchester United untuk bersaing hebat dengan City dan Liverpool, ini adalah jawapan Solskjaer:
”Saya tidak pasti kami mampu kekal konsisten untuk melakukannya.”
”Untuk 18 perlawanan terakhir, tidak jauh perbezaan antara kami dan mereka. Tetapi ia mengenai cabaran keseluruhan musim. Kami telah melalui separuh dari musim tersebut. Kita perlu lihat. Anda harus yakin untuk itu.”
”Anda tidak boleh mengharapkan sesuatu berlaku dengan sekelip mata dan kami tahu mengenai perkara tersebut. Ia akan berlaku dengan beransur-ansur dan kami perlu cukup realistik dan mengambil langkah demi langkah.”
”Ia bukan soal menukar 10 pemain sedia ada dengan membawa 10 orang pemain baru. Ia perlahan-lahan tetapi pasti. Ia harus menjadi kualiti yang tepat, keperibadian yang betul, ‘standard’ yang betul untuk membawa kita kembali ke tempat yang kita mahu.”
Manchester United mencatatkan 12 kemenangan, 2 keputusan seri dan 3 kekalahan selepas 17 perlawanan EPL dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang mengisi kekosongan ditinggalkan Jose Mourinho.
Secara keseluruhannya Manchester United mencatatkan 19 kemenangan, 7 seri dan 8 kekalahan.
Manakala Liverpool hanya tewas sekali dari 35 perlawanan dan Manchester City kecundang empat perlawanan selepas mengharungi 34 aksi EPL musim ini.