Tiada kelab amatur dari Liga M3 mahupun M4 berjaya melakukan kejutan untuk mara ke suku akhir Shopee Piala FA 2019 namun itu bukan satu kegagalan buat kesemua 38 kelab amatur yang diberi peluang bersaing kali ini.
Kehadiran kelab amatur kali ini bukan sahaja mewarnai saingan kejohanan kalah mati itu malah apa yang menarik mereka mampu memberi saingan hebat kepada pasukan profesional Liga Super dan Liga Premier.
Paling mencuri tumpuan adalah kelab Jerantut FA dari Pahang yang mara ke pusingan ketiga namun hajat mereka disekat juara Piala Malaysia Perak dengan kekalahan 2-1.
Biarpun tewas kelab Liga M4 itu sebenarnya sudah memenangi hati ramai penyokong Jerantut.
Ini terbukti apabila kira-kira 5,200 penyokong hadir ke Stadium Tun Abd Razak, Jengka pada perlawanan Rabu lalu, iaitu rekod tertinggi melibatkan perlawanan kelab amatur.
Malah rekod itu lebih tinggi berbanding perlawanan pasukan negeri Pulau Pinang menentang Kuala Lumpur (863), Selangor dengan Felda United (4218) dan beberapa perlawanan lain.
Menurut Sani Hasan, 50, beliau percaya apa yang dilakukan oleh Jerantut FA membuktikan kelab dari daerah juga boleh berjaya andai diuruskan dengan baik.
“Oleh kerana kawasan stadium berhampiran dengan Jerantut, semangat rakyat Jerantut, dengan iklan-iklan dia, promosi dan kekuatan pasukan itu sendiri yang sebelum ini mengalahkan JBFA, membuatkan penyokong sangat berminat.
“Peluang yang diberikan oleh MFL (Malaysian Football League) sangat baik untuk pasukan amatur bersaing di peringkat lebih tinggi,” kata penyokong kelahiran Jerantut itu.
Menurut seorang lagi penyokong Jerantut FA, Muhammad Syukran Ahmad Nazrin, 22, sokongan mereka bukan hanya bermusim.
“Kekuatan warga Jerantut ini, ukhuwah mereka kuat kalau ada apa-apa majlis mereka akan bersatu, kalau pasal bola itu nombor satu, kalau sampai tahap ini mereka akan bagi sokongan sepenuhnya sampai bila pasukan berlatih pun ramai yang datang,” katanya.