Syarikat barangan sukan terbesar Malaysia, Al-Ikhsan Sports menjalinkan hubungan kerjasama dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC secara rasmi hari ini.
Kerjasama itu turut membolehkan lebih ramai peminat Liverpool FC di Malaysia mendapat akses kepada barangan rasmi kelab berkenaan.
Menerusi menerusi kenyataan dalam laman web rasmi www.liverpoolfc.com, pengarah barang dagangan Liverpool FC, Mike Cox berkata pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat sukan popular di Malaysia itu untuk mendekatkan lagi kelab mereka dengan para peminat.
“Kami mengalu-alukan kehadiran Al-Ikhsan dalam keluarga bola sepak global kami.
“Kerjasama seperti ini sangat penting untuk kelab bagi memastikan kami mampu mendekati semua penyokong kami yang berada di seluruh dunia.
“Hubungan baru kami dengan Al-Ikhsan akan memberikan nilai yang sangat besar kepada kelab ini dengan fokus kami adalah untuk mengembangkan operasi runcit kami di Malaysia dan kawasan sekitarnya,” katanya
Al-Ikhsan Sports juga merupakan salah satu syarikat pengedar barangan sukan terbesar di Asia tenggara dan mula ditubuhkan tahun pada 1993.
Perjanjian itu turut menyaksikan Liverpool dan Al-Ikhsan bekerjasama membuka lebih daripada 55 kedai dalam kedai dan tiga kedai sendiri di seluruh Malaysia selain kios di pusat membeli-belah dan laman web e-dagang khusus perkhidmatan di rantau ini.
Sejumlah 27 kedai dalam kedai pertama akan dibuka di seluruh Malaysia mulai Selasa ini sekali gus memberi akses yang lebih kepada penyokong kelab itu untuk mendapatkan replika barangan jenama New Balance selain cenderahati rasmi Liverpool FC, pakaian dan aksesori lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pilutla mengakui gembira dengan kerjasama tersebut dan berharap hubungan dengan kelab tersebut dapat dieratkan lagi dengan lebih dekat.
“Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Liverpool FC bagi mendekati peminat kelab itu di seluruh Malaysia.
“EPL (Liga Perdana Inggeris) adalah liga bola sepak yang paling popular di Malaysia dan Liverpool FC adalah salah satu daripada kelab yang paling diikuti.
Malaysia adalah antara yang tertinggi apabila ia membabitkan tahap pertandingan bola sepak di peringkat global,” katanya.