Pengerusi A.F.C Bournemouth, Jeff Mostyn menegaskan kelabnya tidak mempunyai perancangan untuk menjual Ryan Fraser kepada Arsenal buat masa ini.
Beberapa minggu lalu, terdapat laporan yang mendedahkan skuad Unai Emery sedang mengintai khidmat pemain tengah Scotland ini dan bersedia melakukan rundingan dengan Bournemouth.
Fraser tampil memukau pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas berjaya menghasilkan 6 gol dan melakukan 10 bantuan gol dalam 32 penampilan bersama Bournemouth.
Aski cemerlang pemain berusia 25 tahun itu telah membuatkan Emery mula menyenaraikan nama Fraser antara calon pembelian untuk perancangan skuad musim hadapan.
Bukan untuk dijual
Namun demikian Mostyn menegaskan bahawa Fraser adalah pemain utama The Cherries musim ini dan beliau sama sekali tidak akan melepaskan pemain itu pada perpindahan musim panas akan datang.
“Ryan Fraser adalah pemain Bournemouth,” ujar Jeff Mostyn kepada Sky Sports.
“Kami tidak mahu mana-mana pemain meninggalkan kelab ini. Kami sentiasa menjaga aset berharga kami dan kami mahu meneruskan momentum kami.”
“Kami telah menjalani empat musim berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, musim depan akan menjadi musim kelima kami dan kami mahu pemain terbaik kami kekal di kelab ini.”
Sambung kontrak
Difahamkan kontrak fraser bersama Bournemouth akan berakhir pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, perkara itu tidak membimbangkan Mostyn kerana beliau sudah meminta pihaknya untuk berbincang mengenai lanjutan kontrak bersama Fraser.
“Kami akan segera bercakap (berbincang) dengan Ryan [Fraser]. Ia masih terlalu awal, tetapi kami mahu melakukan yang terbaik untuk Ryan, seperti yang kami lakukan dengan pemain lain.”
“Akhirnya masalah kontrak akan menjadi perbezaan dalam situasi seperti ini. Adakala pemain menandatangani kontrak jangka panjang tetapi mereka masih ingin pergi.”