Barcelona semakin hampir untuk menjulang kejuaraan La Liga buat kali ke-26 selepas berjaya menundukkan pasukan ditangga kedua, Atletico Madrid 2-0 di Nou Camp, awal pagi tadi.
Perlawanan yang sebahagian besarnya dikuasai pasukan tuan rumah itu menyaksikan Atletico Madrid terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain sejak dari minit ke-28 selepas Diego Costa diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Jesus Gil Manzano.
The Blaugrana menguasai permainan pada babak pertama dengan melancarkan tiga serangan tepat kearah pintu gol Atletico Madrid, tetapi masih belum mampu untuk menjelmakan jaringan yang diharapkan.
Atletico Madrid berjaya mengekang asakan skuad bimbingan Ernesto Valverde sehingga minit ke-84 permainan sebelum Luis Suarez dan Lionel Messi menghampakan dengan dua gol pantas.
Luis Suarez memecahkan kebuntuan permainan pada minit ke-85 selepas percubaannya menerusi satu sepakan ‘placing’ dari luar kawasan penalti untuk membuka tirai jaringan buat Barcelona.
Jaringan pembukaan itu nyata menjadi tonik berguna buat skuad bimbingan Ernesto Valverde dan jaringan kedua terhasil hanya seminit selepas jaringan pertama dijaringkan.
Kali ini giliran Lionel Messi pula meletakkan nama selaku penjaring menerusi gerakan dalam kawasan penalti yang disudahkan dengan cukup tenang bintang Barcelona itu.
Kemenangan 2-0 itu sudah cukup buat Barcelona bagi meninggalkan Atletico Madrid dengan 11 mata dalam perebutan La Liga.
Barcelona kini mengumpul 73 mata manakala Atletico Madrid dengan 62 mata selepas mengharungi 31 perlawanan liga musim ini.
Segalanya tampak berada di landasan yang tepat buat Lionel Messi dan rakan sepasukannya untuk sekali lagi merangkul kejuaraan liga.