Ketua jurulatih Jerantut FA, Ahmad Nazri Mat Noor mengakui pasukan bimbingannya memiliki misi serampang dua mata selepas dijadualkan bertemu Perak pada pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019.
Ini kerana Ahmad Nazri mendedahkan perlawanan bertemu juara Piala Malaysia, Perak bakal menjadi platform terbaik untuk anak-anak buahnya untuk menarik minat pencari bakat selain memasang hajat untuk melakarkan kejutan ke atas juara dua kali kejohanan itu.
Tampil selaku pasukan bukan pilihan tidak mematahkan semangat Jerantut FA di mana Ahmad Nazri percaya skuad kendaliannya yang bersatus kelab amatur dari Liga M4 sudah tidak sabar untuk bertemu pasukan Liga Super bimbingan Mehmet Durakovic.
“Mereka (Perak) adalah pasukan pilihan tetapi kami tidak perlu rugi apa-apa dalam perlawanan ini. Sebagai pasukan amatur, ia sudah pasti menjadi satu penghormatan besar buat kami bertemu pasukan hebat dan saya fikir anak-anak buah saya sudah pasti mahu turun bermain menentang mereka.
“Namun dalam masa yang sama, saya mahu mengingatkan anak-anak buah saya bahawa perlawanan bukan sahaja menarik apabila menemukan pasukan amatur dan profesional tetapi ia juga menjadi peluang buat pemain-pemain saya menunjukkan potensi mereka.
“Bagi kami, perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 ini adalah medan terbaik pemain-pemain ‘kampung’ untuk menarik minat kelab-kelab lain. Jadi, saya mahu mereka bermain bersungguh-sungguh dan membuka mata mana-mana pihak jika mahu bermain bersama kelab di peringkat lebih tinggi.
“Mereka adalah pasukan pilihan tetapi seperti saya katakan tadi, Jerantut FA tidak akan rugi apa-apa sebaliknya kami lebih teruja untuk bertemu mereka pada perlawanan itu nanti kerana ia menjadi satu aksi istimewa dan jika boleh, sudah pasti kami mahu menang,” katanya.
Hari ini, Jerantut FA yang melepasi pusingan kedua Shopee Piala FA 2019 ketika menewaskan Johor FA 3-0, diundi bertemu Perak pada pusingan ketiga pada majlis undian Shopee Piala FA 2019 di Mercu Mustapa Kamal, Petaling Jaya.
Perlawanan itu bakal diadakan pada 16 atau 17 April ini.
Sementara itu Kelantan United menjadi wakil tunggal dari Liga M3 yang berjaya melakukan kejutan menyingkirkan pasukan Liga Premier Sabah 1-0 pada aksi pusingan kedua.
Dan laluan lebih sukar menanti skuad kendalian Zahasmi Ismail itu apabila diundi bertemu pasukan Liga Super Terengganu FC pada pusingan ketiga.
Bagi kapten Kelantan United, Daudsu Jamaludin yang pernah menjulang Piala FA dua kali bersama Kelantan sedar mereka harus lebih berwaspada dalam pertembungan derbi Pantai Timur itu.
“Lain padang lain belalang, jadi setiap perlawanan berbeza, kita akan kaji pasukan lawan untuk kita terapkan strategi untuk perlawanan seterusnya.
“InsyaAllah kita akan cuba sedaya upaya cuma kita tagih sokongan penyokong untuk memberi semangat kepada pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu keputusan undian juga menyaksikan UKM FC bertemu juara bertahan Shopee Piala FA 2019, Pahang diikuti perlawanan Selangor menentang Felda United dan juara lima kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim dijadualkan bertemu PKNS FC.
Manakala Kedah akan menentang PJ City FC sementara Pulau Pinang bertemu Kuala Lumpur.
Sementara itu PKNP FC akan bertemu PDRM atau Sarawak selepas perlawanan pusingan kedua kedua-dua pasukan itu terpaksa ditunda ekoran hujan lebat dan bakal diadakan semula pada 9 atau 10 April ini.