Netflix, laman penstriman video berbayar telah mengorak langkah dengan menyiarkan satu siri dokumentari mengenai sukan bola sepak.
Sunderland telah menjadi fokus utama dalam rancangan yang disiarkan dalam laman yang sedang berkembang pesat itu.
Pasukan yang dikenali dengan nama The Black Cats itu merupakan nama yang agak dikenali dalam peminat bola sepak Inggeris khususnya di Malaysia.
Sunderland ‘Til I Die’
Itulah nama yang diberikan kepada dokumentari bersiri ini. Difahamkan ia mempunyai hanya 8 episod.
Ia telah mula disiarkan kepada pengguna Netflix mulai Disember 2018 lalu.
Fokus dokumentari ini terarah kepada di sebalik tabir kelab tersebut. Malah, ia menyiarkan apakah yang telah berlaku kepada Sunderland pada musim 2017/18.
Pada ketika itu, mereka beraksi dalam saingan EFL Championship. Musim tersebut menyaksikan mereka hanya menang 7 kali dan seri sebanyak 16 kali.
Hasilnya, mereka mengutip 37 mata dan tersingkir divisyen. Ini bermakna pada musim ini, mereka beraksi dalam EFL League One.
Siapa yang muncul?
Beberapa pemain kelab itu muncul dalam dokumentari ini antaranya John O’Shea dan Lee Cattermole.
Malah, penjaga gol Jason Steele turut bersama dalam dokumentari ini. Wajah pengurus Sunderland ketika itu, Simon Grayson juga ada disiarkan dalam rancangan yang mengambil masa 40 minit bagi satu episod.
Dokumentari ini ada memuatkan temuramah beberapa penyokong Sunderland. Begitu juga dengan rakaman perlawanan pada dekad-dekad sebelum ini.
Berbaloi?
Jika anda meminati rancangan sebegini, amatlah wajar untuk melaburkan sedikit wang bagi menikmatinya.
Satu usaha yang baik dilakukan oleh Netflix dan penerbit dokumentari sebegini. Cuma bilakah akan ada dokumentari sebegini di Malaysia?
Doakan, manalah tahu kami pula melaksanakannya.