Liverpool mempamerkan semangat juang tinggi selepas berjaya menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Anfield, awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik itu menjelma selepas pertahanan lawan, Toby Alderweireld tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-90 susulan usaha Hugo Lloris yang cuba menafikan tandukan Mohamed Salah.
Alderweireld yang berada di hadapan Lloris tidak mampu membuat apa-apa selain daripada hanya melihat bola membolosi gawang mereka.
Liverpool terlebih dahulu menggembirakan penyokong tuan rumah pada minit ke-16 menerusi Roberto Firmino.
Penyerang antarabangsa Brazil itu tidak mensia-siakan peluang dengan menanduk masuk bola hasil hantaran berkualiti dari sebelah kanan pintu gol Spurs yang diambil Andy Robertson.
Jaringan tersebut merupakan gol ke-11 peribadi dalam saingan Liga Perdana Inggeris buat penyerang berusia 27 tahun itu.
Usaha anak buah Mauricio Pochettino bagi menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke-70.
Berpunca daripada sepakan percuma pantas diambil Harry Kane terus ke Kieran Trippier di bahagian sayap kanan, beliau kemudiannya melakukan lorongan buat Christian Eriksen dalam kawasan penalti yang mencari Lucas Moura.
Moura tidak melepaskan peluang yang dimiliki untuk melakukan percubaan bagi menewaskan Alisson Becker di gawang Liverpool.
Ketika aksi semakin menghampiri penghujung, skuad bimbingan Jurgen Klopp memberikan tekanan ke kubu Tottenham Hotspur memaksa Alderweireld melakukan kesilapan yang menjurus kepada gol kemenangan buat The Reds.
Dengan kemenangan saat akhir yang dicapai, Liverpool kini kembali di tangga teratas EPL dengan kelebihan dua mata di hadapan Manchester City, pencabar mereka itu bagaimanapun masih kekurangan satu perlawanan.
City akan berdepan Cardiff City pada hujung minggu ini dalam usaha kembali merampas kedudukan tersebut.