Pengurus Cardiff, Neil Warnock ternyata amat kecewa dan marah dengan keputusan kontroversi dari barisan pengadil ketika skuad The Bluebirds itu tewas kepada Chelsea 1-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.
Pengendali berusia 70 tahun itu berkata, beliau membidas keputusan pengadil dan penjaga garisan tersebut dengan menyifatkan mutu pengadilan amat teruk dan tiada kualiti.
Perlawanan yang diadili oleh Craig Pawson itu menyaksikan dua gol dari Chelsea telah mencetus kontroversi untuk membantu kemenangan 2-1 keatas Cardiff.
Cardiff yang bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran mendahului permainan menerusi jaringan Victor Camarasa pada minit ke-46.
Segalanya berubah apabila Chelsea berjaya menyamakan kedudukan enam minit sebelum permainan berakhir menerusi kapten, Cesar Azpilicueta.
Bagaimanapun, jaringan yang berpunca daripada sepakan sudut itu telah mencetus kontroversi apabila pemain tuan rumah mempertikaikan keputusan pengadil dengan mendakwa Azpilicueta berada di posisi ofsaid sebelum menanduk masuk gol berkenaan.
Warnock yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut menuju kearah penjaga garisan, namun pihak pengadil tidak mempedulikan rayuan dan tetap mengesahkan jaringan tersebut.
Ketika perlawanan dijangka berakhir dengan kedua-dua pasukan berkongsi mata, Ruben Loftus-Cheek menjadi penyelamat pasukan pelawat apabila menyumbat gol pada masa kecederaan, juga menerusi tandukan.
“Ia menyakitkan. Pengadil [Craig Pawson] mengadili perlawanan yang baik tetapi kami tidak mendapat keputusan yang diharapkan. Penjaga garisan… Ia amat mengecewakan. Chelsea tahu mereka terlepas selepas melakukan pembunuhan,” kata Warnock.
“Apabila kamu tidak menang dan ia bukannya disebabkan oleh diri kamu, ia rasa seperti tendangan ke gigi. Menentang pasukan besar, kamu memerlukan VAR (Video Bantuan Pengadil) kerana kamu tidak berupaya melakukan keputusan penting.”
Warnock yang begitu berang jelas mengakui marah dan kecewa dengan kualiti pengadil EPL dan menganggap ianya seperti tidak layak untuk berada di sebuah liga yang terbaik di dunia.
“Gol penyamaan sebenarnya adalah gol kemenangan, dan jika kamu tidak dapat melihat garisan dan melihatnya ofsaid, saya tidak dapat melihat mengapa kami mengharungi perlawanan ini. Liga terbesar dan liga terbaik di dunia tetapi mungkin pengadil perlawanan terburuk.”
Dengan kenyataan pedas ini, Warnock dijangka akan berdepan hukuman FA England.