Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee yang ditemui ketika sesi post match reaction mengakui pertukaran yang banyak telah menjejaskan sedikit rentak permainan skuadnya.
Malaysia hampir diikat Laos dalam aksi kedua Kumpulan J, pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020, namun akhirnya berjaya memperolehi gol yang diburu 8 minit sebelum perlawanan ditamatkan berpunca daripada sepakan percuma Safawi Rasid.
Kim Swee membuat 5 pertukaran pemain dalam kesebelasan utama yang menewaskan Filipina tempohari dan dilihat telah menjejaskan aksi permainan keseluruhan Harimau Muda.
Permainan yang tampak kurang kemas terutamanya di jentera hadapan apabila Kim Swee membuat percaturan tanpa kehadiran Safawi Rasid dan Hadi Fayyadh dalam kesebelasan utama.
“Bila kita ada banyak pertukaran, permainan kita jadi tidak begitu kemas dan kita sentiasa mengejar (memburu) gol dan di situ banyak menyebabkan corak permainan kita terjejas.
“Yang penting kita dapat 3 mata yang kita perlukan sebelum kita bermain dengan China,” ujarnya lagi.
Sebagaimana China, Malaysia juga telah meraih kemenangan kedua dan mengumpul 6 mata maksimum untuk berada di kedudukan kedua liga. China juga mengumpul 6 mata namun berada di takhta hasil perbezaan gol yang besar.
Menariknya kedua-dua pasukan masih kekal tanpa bolos selepas 2 perlawanan – ini menjanjikan aksi menarik pada Selasa.
China memiliki serangan yang ampuh apabila telah merekodkan 13 jaringan dalam dua perlawanan dan dengan kedudukan kedua tidak menjamin 100% kelayakan ke pusingan akhir, perlawanan terakhir nanti masih menjadi misi pemburuan mata penuh.
“Kita perlu berada pada tahap yang cukup baik ataupun tinggi apabila kita bermain dengan pasukan China di mana ini merupakan perlawanan penentuan,” jelas Kim Swee.
Disamping itu, Kim Swee amat berharap yang barisan pemainnya mendapatkan rehat yang cukup sebelum turun menentang China yang gagal melepasi peringkat kumpulan dalam edisi lepas – tewas kepada juara, Uzbekistan dan Qatar.
“Pemain harus kembali cergas terutama pemain-pemain yang telah bermain sebanyak 2 kali. Dan kita perlu mendapatkan keputusan yang baik dengan China.
“Jadi saya harap semua pemain mendapat rehat yang mancukupi sebelum saya memikirkan siapa yang saya mahu turunkan,” tambahnya lagi.
Malaysia akan turun dalam perlawanan terakhir menentang skuad kendalian Guus Hiddink itu pada Selasa di Stadium Shah Alam.