Jose Mourinho mendedahkan bahawa beliau mensasarkan untuk kembali menjalankan tugas selaku pengurus pasukan pada musim panas ini.
Individu yang cukup terkenal dan sangat lantang dalam kancah bola sepak dunia itu masih lagi tidak mempunyai pasukan selepas dipecat oleh Manchester United pada Disember lalu.
Laporan sebelum ini mengatakan Mourinho telah menolak tawaran empat pasukan dan salah satu daripadanya adalah dari Benfica.
Alasan utama pengendali berusia 56 tahun itu menolak tawaran tersebut adalah kerana merasakan masih terlalu awal untuk beliau berbakti semula di negara kelahirannya.
”Apa yang telah saya tetapkan dalam fikiran adalah untuk kembali semula pada musim panas ini, pada bulan Jun, untuk kelab dan pra-musim yang baharu.”
”Saya tahu apa yang saya tidak mahukan. Sebab itulah saya harus mengatakan kepada tiga atau empat kelab dengan tawaran yang berbeza. Saya terpaksa mengatakan tidak.”
”Dan saya tahu apa yang saya mahukan, bukan dari segi kelab tertentu tetapi sifat kerja, dimensi pekerjaan tersebut. Saya tahu apa yang saya mahukan.”
Bercakap kepada BeIN SPORTS, Jose Mourinho juga tidak menolak kemungkinan untuk melatih skuad kebangsaan walaupun lebih memilih untuk melatih kelab.
”Saya tidak fikir begitu. Saya merasakan tugasan skuad kebangsaan adalah kerja yang spesifik.”
”Saya menggemari bola sepak harian, kerja harian, saya juga menyukai banyak pertandingan. Saya gemarkan perlawanan dan mahu kekal dalam bola sepak di peringkat kelab, Tetapi, siapa tahu?
Selain Manchester United, Mourinho yang memulakan karier selaku pengurus pasukan pada tahun 2000 turut pernah membimbing Benfica, União Desportiva de Leiria, FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid.