Raheem Sterling cemerlang pada aksi sulung Kelayakan EURO 2020 selepas berjaya meledak hatrik bagi membantu England menang 5-0 keatas Republik Czech di Wembley.
Dua lagi jaringan telah dihasilkan oleh Harry Kane menerusi sepakan penalti dan gol sendiri Tomas Kalas.
Pada perlawanan ini juga, pengurus England, Gareth Southgate turut meletakkan pemain muda meningkat naik, Jadon Sancho sebagai pemain kesebelasan utama.
Pemain bahagian serangan berusia 18 tahun itu juga diberikan peluang beraksi sepenuh masa dan beliau pantas membalas kepercayaan tersebut dengan mencipta bantuan kepada jaringan pembukaan Raheem Sterling.
Sancho yang mendapat hantaran daripada Harry Kane, terus melorongkan bola kepada Raheem Sterling di depan pintu gol lawan sekaligus menghulur kakinya untuk jaringan pembukaan pada minit ke-24.
Sterling terus memainkan peranan penting buat England apabila kelincahannya dalam kawasan penalti memaksa pemain pertahanan, Tomas Kalas dan Pavel Kaderabek melakukan kekasaran yang memberikan sepakan penalti pada masa tambahan babak pertama.
Harry Kane yang bertanggungjawab mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Ketenangan Sterling jelas terserlah apabila beliau menjaringkan gol ketiga pada minit ke-62 hasil ‘turning’ mudah sekaligus melakukan percubaan kaki kiri melencong yang menewaskan Jiri Pavlenka di gawang Republik Czech.
Berselang enam minit kemudian, pemain Manchester City itu melengkapkan hatrik hasil rembatan dari luar kawasan penalti yang terbias mengenai pemain pertahanan, Ondrej Celustka.
Luka Republik Czech semakin berdarah setelah Kalas tertampan bola ke gawang sendiri susulan percubaan pemain gantian, Callum Hudson-Odoi yang ditepis keluar Pavlenka pada minit ke-84.
Rekod baharu juga tercipta pada perlawanan ini apabila Hudson-Odoi menjadi pemain paling muda membuat penampilan bersama skuad kebangsaan England.
Pemain muda yang beraksi untuk Chelsea itu baru menjengah usia 18 tahun 135 hari.
Keputusan 5-0 yang dicatatkan jelas meningkatkan moral anak buah Southgate menjelang pertemuan menentang Montenegro, pagi Selasa nanti.