Keyakinan Jordan Pickford semakin memuncak selepas pengurus England, Gareth Southgate mengesahkan bahawa penjaga gol Everton itu ditugaskan mengemudi gawang skuad ‘Three Lions’ pada perlawanan sulung Kelayakan EURO 2020 bertemu Republik Czech, awal pagi nanti.
Pickford merupakan pilihan utama buat Southgate pada saingan Piala Dunia 2018 lalu, yang menyaksikan England meraih tempat ke-4.
Melihat kepada persembahannya yang tidak begitu konsisten bersama Everton, banyak pihak berpendapat tempat beliau akan diambil alih penjaga gol Burnley, Tom Heaton.
Tetapi sangkaan tersebut nyata meleset apabila Southgate masih menaruh kepercayaan buat Pickford bagi mengawal gawang England di Wembley nanti.
”Ia bagus buat saya. Saya merasakan selain daripada aksi bertemu Newcastle United, saya berada dalam prestasi yang baik.”
”Pada perlawanan bertemu Newcastle, saya melakukan kesilapan dan kembali bangkit dengan aksi baik ketika menentang Chelsea, jadi ia jelas menunjukkan mentaliti dan karakter saya sendiri, dan saya merasakan ia bagus buat saya.”
”Pengurus meletakkan kepercayaan terhadap saya untuk beraksi esok. Saya telah berlatih dengan baik sepanjang minggu, jadi ia sangat baik.”
Selepas 31 perlawanan Liga Perdana Inggeris, Jordan Pickford berjaya mencatatkan sembilan perlawanan tanpa dibolosi dan merupakan penjaga gol dari England paling banyak ‘clean sheets’ pada musim ini.