Ketua pasukan Chelsea, Cesar Azpilicueta masih menaruh harapan menggunung bahawa skuad The Blues akan menamatkan saingan di kelompok empat pasukan teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pemain bek kanan Chelsea itu masih optimis walaupun Chelsea pulang hampa apabila tumpas 0-2 pada pertemuan dengan Everton di Goodison Park tempoh hari.
Azpilicueta turut menepis tanggapan bahawa Liga Europa merupakan jalan terakhir buat Chelsea untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.
Chelsea berpeluang untuk mara lebih jauh dalam saingan Liga Europa selepas diundi bertemu wakil Republik Czech, SK Slavia Praha pada peringkat suku akhir.
Azpilicueta bagaimanapun tidak mahu melihat Liga Europa sebagai pilihan utama buat Chelsea untuk ke pentas UCL musim hadapan.
”Kami terlepas peluang untuk mendapatkan mata dan setiap masa anda tidak memperoleh tiga mata, anda akan meletakkan pasukan di kedudukan yang sukar.”
”Masih terdapat banyak lagi perlawanan untuk dihadapi dan kami akan terus bersaing kerana kami tidak mahu terlepas aksi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.”
”Saya tidak melihat Liga Europa sebagai satu-satunya peluang buat kami untuk ke Liga Juara-Juara Eropah, kerana tempat Chelsea bukan di tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris, jadi saya tidak boleh menerimanya,” tambah Azpilicueta lagi.
Chelsea ketika ini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 57 mata, hanya satu mata di belakang Manchester United manakala tiga mata ditinggalkan Arsenal.
Skuad bimbingan Maurizio Sarri itu dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan selepas ini.
Chelsea bakal menentang Cardiff City di lgelanggang lawan pada hujung minggu hadapan dan akan menanti cabaran Brighton & Hove Albion di Stamford Bridge empat hari kemudian