Pernah Kecewa Dalam Bola Sepak, Falcao Noktahkan Karier Sebagai Legenda Futsal Dunia

Falcao

Dalam kancah futsal dunia, nama Falcao tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat sukan lima sebelah itu.

Kelibatnya yang memukau setiap kali beraksi sudah cukup untuk membuktikan pemain kelahiran Sao Paulo, Brazil itu sememangnya menjadi ‘buah hati’ kepada seluruh pencinta futsal dunia.

Ketenangan beliau ketika mengawal bola serta penyudah berbisa dan variasi idea bagi menghasilkan jaringan pasti menghadirkan gerun buat mana-mana pemain yang akan berhadapan pemain legenda berusia 41 tahun ini.

Sudah menjadi lumrah di Brazil, anak kecil akan kebiasaannya mengisi masa terluang dengan bermain bola sepak di jalanan dan Falcao juga tidak terkecuali untuk merasai pengalaman sebegitu sewaktu zaman kecilnya.

Perjuangan seorang legenda bermula

Peralihan dari futsal atau bola sepak jalanan ke bola sepak profesional kebiasaannya dilakukan oleh pemain terbaik dunia seperti Neymar, Robinho, Andres Iniesta, Cristiano Ronaldo kerana mereka menjadikan futsal sebagai proses perkembangan untuk ke bola sepak.

Tetapi tidak bagi Falcao kerana setelah berjaya menyinar pada liga daerah (Guarapira) di Sao Paulo, lalu memilih untuk terus beraksi sebagai pemain futsal.

Tahun 1992 beliau memilih untuk beraksi bersama pasukan skuad futsal Corinthians (5 tahun) dan mengecapi pelbagai kejayaan sehingga dipanggil membarisi skuad futsal kebangsaan Brazil ketika itu.

Falcao dijulang selepas perlawanan menentang Iran pada aksi Piala Dunia 2016 di Colombia.

Pernah mengimpikan untuk bermain bolasepak

Falcao atau nama sebenarnya, Alessandro Rosa Vieira pernah menaruh harapan untuk menyarung jersi pasukan bola sepak kegemarannya sejak kecil iaitu Santos.

Namun, harapan menggunung pemain lagenda ini tidak kesampaian apabila beliau gagal untuk menarik perhatian jurulatih ketika itu.

Pada 20 Januari 2005 menyaksikan impian lama Falcao kembali berputik apabila ditawarkan kontrak selama 6 bulan bersama Sao Paulo.

Bagaimanapun akibat beberapa masalah yang dihadapi bersama jurulatih Sao Paulo ketika itu, Emerson Leao menyebabkan Falcao kembali ke lapangan futsal pada 14 April.

Kecintaan terhadap Santos membuatkannya menyarung jersi skuad futsal Santos pada tahun 2011.

Namun ia tidak bertahan lama apabila kelab tersebut terpaksa membubarkan pasukan futsal dan bola sepak wanita bagi menampung perbelanjaan untuk mengekalkan Neymar di kelab tersebut yang menjadi tumpuan pasukan bola sepak terbaik dunia.

Aksi pertama di Piala Dunia Futsal

Piala Dunia Futsal 2000 di Guatemala merupakan penampilan pertama dalam saingan Piala Dunia buat Falcao dan ketika itu Brazil menamatkan saingan selaku naib juara apabila tewas 3-4 ditangan musuh tradisi, Sepanyol.

Penampilan ini juga menyaksikan Falcao berjaya menghasilkan 6 gol sepanjang 8 perlawanan yang dilalui oleh beliau.

Jaringan sulung buat Falcao dalam saingan ini adalah menghasilkan gol ke-11 buat Brazil pada minit ke-38 ketika menentang Kazakhstan (Brazil menang 12-1) pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Pelbagai kejayaan diraih sepanjang karier hebat

Terlalu banyak untuk memperkatakan mengenai kejayaan yang pernah diraih Falcao dan antara kejayaan yang cukup manis buat beliau adalah ketika membantu skuad kebangsaan Brazil menjuarai Piala Dunia 2008 dan 2012 di Brazil dan Thailand.

Falcao juga kini merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan Piala Dunia setelah berjaya menjaringkan 48 gol dalam 33 penampilan pada kejohanan paling berprestij itu.

Pada aksi Piala Dunia 2004 di Chinese Taipei, beliau dinobatkan selaku penjaring terbanyak setelah menghasilkan 13 gol, yang menyaksikan Brazil menamatkan saingan di tempat ketiga.

Falcao telah membuat penampilan dalam lima kempen Piala Dunia iaitu bermula pada tahun 2000 di Guatemala, 2004 (Chinese Taipei), 2008 (Brazil), 2012 (Thailand dan 2016 di Colombia.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut mengiktiraf sumbangan hebat Falcao dalam futsal apabila menganugerahkan ‘FIFA Award For An Oustanding Career’ pada tahun 2016.

Sebagai rekod, Falcao telah membuat 201 penampilan bersama skuad futsal Brazil dan menjaringkan 339 gol sepanjang karier antarabangsa.

Pada 8 Disember 2018, Falcao telah mengumumkan persaraannya dalam saingan domestik. Kelab terakhir diwakilinya adalah Magnus Futsal yang beraksi di Liga Futsal Nasional Brazil.

Penutup karier antarabangsa dinoktahkan dengan sedikit kehampaan

Piala Dunia Futsal 2016 merupakan pentas terakhir buat beliau memperagakan segala yang dimiliki dalam usaha untuk membantu Brazil memperoleh kejuaraan hatrik.

Namun kekalahan mengejut dalam penentuan sepakan penalti menentang Iran dalam saingan pusingan kedua menoktahkan sisa perjuangan sang perwira Brazil ini.

https://www.youtube.com/watch?v=MhAgDPrxxq0

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN