Piala AIRMARINE: Faris Ramli Hampakan Skuad Harimau Malaya, Bawa Singapura Ke Final

Singapura

Jaringan tunggal Muhammad Faris Ramli pada lewat permainan sudah cukup untuk membantu Singapura mengecewakan skuad negara selepas menang 1-0 pada aksi separuh akhir Piala AIRMARINE 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Singapura berbahaya di babak pertama

Singapura yang dibimbing Mohamad Nazri Nasir jelas lebih menjelmakan serangan berbahaya berbanding tuan rumah pada babak pertama.

Tiga deretan peluang dalam masa tiga minit membuktikan negara seberang tambak itu begitu bernafsu untuk mencipta jaringan.

Skuad negara hampir dihukum pada minit ke-12 akibat kealpaan pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri sehingga berjaya dirampas Muhamad Yasir Hanapi.

Muhamad Yasir kemudiannya meluru pantas ke kawasan penalti dan melepaskan rembatan ke arah gawang skuad negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat tetapi penjaga gol Melaka United itu lebih tangkas menafikan percubaan tersebut.

Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penghalang buat Yasir selepas  rembatan kaki kiri pemain tengah berusia 29 tahun itu dari luar kawasan penalti ditangkap kemas berselang seminit kemudian.

Yasir ternyata menjadi nadi kepada jentera Singapura menggerakkan serangan selepas lorongan cantik dilakukannya terus mencari Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal dalam kawasan penalti Malaysia.

Namun, usaha Khairul Amri tidak berhasil apabila Khairul Fahmi terus cemerlang menghalang kuisan tersebut dan Matthew Davies bertindak pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-14.

Berselang dua minit kemudian, anak buah Tan Cheng Ho mendapat peluang sulung namun tandukan Irfan Zakaria hasil sepakan penjuru Mohd Nor Azam Abdul Azih tersasar di sebelah kanan pintu gol Singapura.

Percubaan tersebut merupakan satu-satunya peluang terbaik yang dimiliki skuad negara pada babak pertama.

Aksi selepas itu sedikit ‘sendu’ setelah bola hanya berlegar-legar di tengah padang dengan usaha yang cuba dijelmakan kedua-dua pasukan tidak begitu mengancam kubu lawan masing-masing.

Aksi bertenaga ‘tiada gunanya’

Bagaikan mendapat tonik berguna ketika waktu rehat, skuad negara mempamerkan corak permainan lebih bertenaga pada babak kedua.

Selain daripada gerakan pantas sebaik sahaja perlawanan bersambung oleh Khairul Amri dan Faris Ramli yang mudah ditangkap Khairul Fahmi , skuad negara kian bersemangat mencipta serangan ke kubu Singapura.

Siri serangan skuad negara bermula dengan hantaran lintang yang dilakukan Matthew Davies membias terkena kaki pertahanan Singapura.

Ia kemudiannya memberikan peluang buat Mohamadou Sumareh yang lincah di sebelah kiri pintu gol Singapura tetapi rembatannya mudah dihalang penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud pada minit ke-50.

Ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak pula terlepas dua peluang keemasan dalam tempoh tujuh minit.

Zaquan menanduk bola melewati palang gol susulan hantaran lintang kemas yang diambil Matthew Davies pada minit ke-58 dan peluang di hadapan pintu gol lawan juga disia-siakannya apabila menolak keluar bola hantaran Syazwan Zainon.

Keadaan kelam kabut dihadapan gol Singapura pada minit ke-63 juga masih gagal digunakan Zaquan setelah rembatannya dihalang Izwan Mahbub.

Penguasaan tersebut jelas tidak langsung melunturkan semangat Singapura setelah mereka membuatkan kem skuad negara ‘terkedu’ pada minit ke-82.

Lorongan berkualiti yang dicipta Khairul Amri berjaya memperdayakan pertahanan skuad negara sekaligus memberikan peluang buat Faris Ramli yang melepasi kawalan Shahrul Saad untuk memecahkan kebuntuan gol pada perlawanan ini.

Skuad negara berusaha keras untuk kembali menyamakan kedudukan, namun ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan 1-0 buat Singapura.

Dengan kemenangan ini akan menemukan Singapura dan Oman pada perlawanan akhir manakala Malaysia bakal menanti cabaran Afghanistan pada pertemuan tempat ke-3/4 pada Sabtu nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN