Legenda Inter Milan, Walter Zenga menegaskan bahawa dirinya tidak akan percaya dengan ‘kata-kata cinta; yang diluahkan Mauro Icardi terhadap kelab tersebut.
Bagi Zenga, beliau berpandangan jika Icardi benar-benar sayang kepada Nerazzurri, maka penyerang Argentina itu akan tetap bermain meskipun tanpa lilitan ketua pasukan.
Kemuncak segala permasalahan Icardi bersama Inter Milan berlaku pada Febuari lalu. Beliau telah dilucutkan dari jawatan kapten pasukan oleh ketua jurulatih, Luciano Spalletti.
Menurut laporan dari beberapa sumber antarabangsa, keputusan melucutkan jawatan ketua pasukan itu diambil selepas proses lanjutan kontrak Icardi bersama Inter Milan tidak mencapai kata sepakat.
Sejak dari itu, penyerang berusia 26 tahun tersebut tidak lagi menjadi pilihan utama Spalletti untuk berada di barisan hadapan pasukan.
Hanya bualan
Icardi sempat berdiam diri dan enggan mengulas mengenai hal tersebut pada waktu itu. Hanya, ejennya bernama Wanda Nara tampil bercakap kepada media. Akan tetapi, tindakan ‘tutup mulut’ itu tidak bertahan lama.
Akhirnya Icardi tampil bersuara mengenai hal itu.
Beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya amat sayang kepada kelab – namun sayangnya itu ibarat seperti bertepuk sebelah tangan. Menurut Icardi, beliau begitu kecewa kerana pihak Inter tidak pernah menghargainya.
Kenyataan itu lantas menarik perhatian Walter Zenga yang berpendapat luahkan hati Icardi hanyalah sekadar bualan kosong semata-mata.
“Saya terpegun dengan kenyataan Icardi di Instagram,” tutur Zenga yang pernah mengawal gawang Nerazzurri selama 22 tahun.
“Saya lahir dan membesar di Inter, mengharungi selama 22 tahun bersama Inter di dalam diri saya, dan saya percaya bahawa bila anda mencintai kelab, anda akan mencintainya, walaupun apabila mereka melucutkan kapten anda.”
Wanda Nara
Dalam pada itu, Zenga turut khuatir bagaimana Wanda Nara mengurus dan menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi Icardi selama ini.
Termasuk juga bagaimana beliau tampil berbicara kepada media dengan mewakili Icardi setiap masa.
“Di zaman sekarang, anda tidak boleh membiarkan seorang ejen bercakap di setiap malam minggu, sebab ada peranan dan tugas lain yang perlu dilakukannya.”
“Saya percaya [Giuseppe] Marotta [CEO Inter Milan] sudah membuat keputusan yang tepat [mengenai Icardi] dan saya senang ia dilakukan,” kata Zenga.