Beberapa hari lalu kecoh dengan berita bahawa Melaka United sudah beberapa bulan tidak membayar gaji skuad B-21. Perkara itu turut membuatkan ramai peminat Melaka United bimbang.
Semalam pihak Persatuan Bola Sepak Melaka United(MUSA), menerusi naib presiden merangkap pengurus pasukan B-21 Melaka – Mohd Ashiq Abd Samad – telah menyelar pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak tepat itu.
Mohd Ashiq berkata: “Berikutan isu tunggakan gaji para pemain Skuad B21 (Piala Presiden) Melaka United yang tular di media-media sosial sejak beberapa hari lalu.”
“Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) dengan ini ingin memaklumkan bahawa tunggakan gaji pemain-pemain terbabit yang didakwa telah berlarutan sejak 5 bulan lalu seperti yang ditularkan adalah satu dakwaan yang tidak benar sama sekali.”
“Kami di pihak MUSA dengan ini menafikan dakwaan itu.”
“Untuk makluman, pembayaran gaji para pemain Skuad B21 yang beraksi dalam saingan Piala Presiden 2019 bagi bulan Januari dan Februari 2019 telahpun dilunaskan mengikut terma yang ditetapkan.”
“Pihak MUSA dengan ini berharap tiada lagi isu seumpama ini dibangkit dan ditularkan yang hanya menjejaskan nama baik persatuan.”
“Menjelang aksi ke-6 Kumpulan B Piala Presiden 2019 menentang Terengganu di tempat lawan pada 30 Mac depan, para pemain kini sedang dipersiapkan dengan kekuatan mental dan fizikal terbaik dalam misi untuk bangkit selepas tewas dalam kesemua 5 perlawanan setakat ini.”
“Pemain juga berazam untuk tampil dengan semangat dan motivasi terbaik bagi mengutip mata pada perlawanan itu sebagai peniup semangat dan momentum bagi perlawanan-perlawanan akan datang untuk pasukan kembali bersaing memburu kedudukan terbaik musim ini.”
“Kepada para penyokong, teruskan memberikan sokongan padu buat pemain skuad pelapis Melaka United bagi memastikan para pemain ini kekal bersemangat pada perlawanan-perlawanan akan datang terutama ketika beraksi di laman sendiri.”
“Setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan yang tiada henti dan tidak berbelah bahagi selama ini untuk para pemain muda kita terus berjaya membawa nama negeri Melaka dalam arena bolasepak negara.”
“Mohd Ashiq Abd Samad, Naib Presiden MUSA merangkap Pengurus Pasukan Skuad B21 Melaka United.”