Untuk kejohanan Piala AIRMARINE 2019, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilihat menyenaraikan 12 pemain baharu bagi menggantikan 10 pemain yang telah membawa Malaysia ke pentas final Piala AFF 2018.
Perubahan tersebut dibuat samaada mahu mencari alternatif baharu ataupun ada pemain yang terlibat dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 seperti Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syahmi Safari.
Antara yang muka baharu atau yang kembali mendapat panggilan adalah Rizal Ghazali, Matthew Davies, Hadin Azman, Firdaus Saiyadi, Hafiz Ramdan, Nicholas Swirad, S. Kumaahran, Abdul Latiff Suhaimi, Faiz Nasir, Halim Saari, Nor Azam Azih dan Ifwat Akmal.
Siapakah di kalangan pemain-pemain ini yang akan berpeluang untuk membuat penampilan pertama atau penampilan semula dalam skuad kebangsaan kali ini?
Formasi
Untuk melihat siapa yang berpeluang, terlebih dahulu, kita perlu melihat formasi taktikal yang menjadi kebiasaan kepada pengendali skuad kebangsaan ketika ini.
Dalam dua aksi terakhir pada 2018 iaitu di pentas final Piala AFF, Cheng Hoe dilihat menggunakan formasi 4-4-1-1.
Menentang Vietnam, Harimau Malaya tampil garang dan mengikat lawan di laman sendiri dengan keputusan 2-2 seterusnya tewas tipis 0-1 di Stadium My Dinh, Vietnam.
Oleh itu, formasi asas Cheng Hoe adalah 4-4-1-1.
Kekosongan posisi
Berdasarkan senarai pemain dalam kedua-dua aksi tersebut, beberapa pemain tiada dalam senarai kali ini iaitu Farizal Marlias, Aidil Zafuan, Syahmi Safari, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba.
Oleh itu, perubahan pemain akan melibatkan posisi penjaga gol, pertahanan tengah dan kanan, pemain tengah serta sayap kiri.
Untuk pertahanan kanan, dijangkakan tiada masalah untuk Matthew Davies ataupun Rizal Ghazali untuk diturunkan, kerana kedua-duanya sama kompeten dan sama hebat.
Begitu juga dengan pertahanan tengah, Irfan Zakaria bakal mengambil posisi Aidil Zafuan sebagaimana dalam aksi final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk posisi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dikhabarkan mengalami demam dan mungkin sempat pulih. Namun, Cheng Hoe boleh sahaja memilih untuk mencuba pemain lain – tanpa perlu memaksa kudrat Norshahrul Idlan yang baru sembuh.
Ifwat Akmal Chek Kassim
Penjaga gol muda Kedah ini berpotensi untuk merasai kaps antarabangsanya yang pertama berdepan Singapura, malam nanti. Ketiadaan Farizal Marlias yang cemerlang di Piala AFF bakal memberikannya ruang untuk mempersembahkan bakatnya.
Merekodkan cleensheet terbanyak di Liga Super setakat ini dalam 3 perlawanan, Ifwat Akmal mungkin akan diuji oleh Cheng Hoe. Untuk rekod, kecemerlangannya turut disumbang oleh keteguhan benteng Helang Merah pada musim ini.
Jadi, jika Cheng Hoe melihat bentengnya kukuh, kemungkinan untuk Ifwat diturunkan adalah besar kerana kemampuan Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim sudah umum diketahui.
Khairul Fahmi memiliki lebih 50 penampilan bersama Harimau Malaya sementara Hafizul Hakim pula telah 9 kali diberikan peluang. Mungkin ini masa yang sesuai buat Ifwat Akmal pula.
Nor Azam Azih
Selamat kembali jeneral! Nor Azam Azih akhirnya berjaya juga tersenarai kembali ke dalam skuad kebangsaan selepas kecewa tidak dapat ke Piala AFF. Tekadnya untuk kembali telah tertunai.
Kali terakhir pemain tengah ini beraksi bersama skuad kebangsaan adalah dalam pusingan kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara pada November 2017 – Malaysia tewas 1-4.
Sepanjang 2018, Nor Azam hilang dari radar bermula akibat kecederaan lutut yang dialami ketika bersama Pahang dan kemudian langsung tidak mendapat panggilan.
Ketiadaan Syamer Kutty Abba yang ketika ini bersama skuad B-23 bakal memberikannya peluang untuk membuat penampilan semula dan dijangka akan bergandingan bersama Akram Mahinan.
Mobilitinya, kemampuan menghidupkan jentera tengah serta memiliki hantaran yang baik bakal memberikan ruang buat Akram untuk lebih defensif dalam perlawanan malam ini.
Untuk saingan Liga Super musim 2019, pemain yang berusia 24 tahun ini telah membuat 5 penampilan bersama Pahang.
Hadin Azman
Sebagaimana Nor Azam Azih, Hadin Azman juga kali terakhir beraksi bersama Harimau Malaya ketika tewas 1-4 kepada Korea Utara pada November 2017 – Kelayakan Piala Asia.
Prestasi cemerlangnya pada awal musim ini bersama Felda United disamping dilantik menjadi kapten telah melonjak semula namanya yang kian suram bermula pada pertengahan musim lalu.
Hadin sudah meledak 3 daripada 4 gol Felda United dalam 6 perlawanan dan membantu mereka berada di kedudukan ke-9 liga.
Hadin berpeluang mengambil alih posisi yang ditinggalkan oleh Safawi Rasid di bahagian sayap kiri Harimau Malaya untuk kejohanan Piala AIRMARINE kali ini.
Namun, jika Cheng Hoe memilih untuk meletakkan Syazwan Zainon yang juga tampil cemerlang bersama Selangor, Hadin berkemungkinan bakal menggantikan Norshahrul Idlan yang ‘boleh’ direhatkannya untuk tampil lebih segar pada Sabtu.
Penutup
Semuanya BOLA merasakan itu sahaja perubahan daripada Tan Cheng Hoe untuk aksi menentang Singapura pada perlawanan malam ini. Tiada perubahan besar kerana tonggak utama di sesetengah posisi ada bersama pasukan ketika ini.
Berdepan Singapura sentiasa menghadirkan suasana dan atmosfera yang sengit dan adakalanya tegang antara kedua-dua pasukan – tidak kira peringkat umur apa sekalipun. Derbi Seberang Tambak ini sentiasa menghadirkan auranya yang tersendiri.
Namun, pentas Piala AIRMARINE ini boleh dikatakan hanya pertembungan persahabatan antara kedua-dua pasukan jadi ketegangan dan tekanannya mungkin sedikit berkurangan.
Pada pendapat pembaca, adakah Cheng Hoe akan memberikan ketiga-tiga pemain tersebut peluang ataupun ada pilihan lain yang lebih layak? Sila kongsikan bersama kami.