Dalam usaha untuk merangkul empat piala pada musim ini, pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa beliau memerlukan kesemua pemainnya bagi merealisasikan impian tersebut.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut menegaskan kesemua anak buahnya akan memainkan peranan masing-masing untuk membantu pasukan.
Manchester City kini menghuni tangga kedua selepas Liverpool mencatatkan kemenangan 2-1 keatas Fulham malam tadi tetapi The Cityzens masih kekurangan satu perlawanan.
Dalam pada itu, Manchester City juga masih bersaing dalam kempen Piala FA apabila akan bertemu Brighton & Hove Albion pada aksi separuh akhir manakala bakal menentang Tottenham Hotspur di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
”Kami sentiasa menuntut kerja keras untuk beraksi dengan sehabis baik yang boleh, lagi dan lagi.”
”Ia adalah satu-satunya cara kerana mereka akan bermain – semua orang. Jika kami memerlukan 10 atau 15 minit, ia mesti menjadi yang terbaik. Kami berada disini setakat ini kerana semua orang, tidak hanya 11, 12 atau 13 orang pemain.”
”Semua orang memberikan sumbangan mereka sendiri. Ia sangat gila, jadual perlawanan pada bulan April. Itulah sebabnya anda perlukan semua pemain.”
”Para pemain bermain dengan bagus, luar biasa – mereka perlu mengekalkan tahap itu. Pemain yang perlu dipertingkatkan prestasi, mereka perlu mempamerkan peningkatan kerana kami memerlukan mereka. Semua orang perlu bermain.”
”Terutamanya John (Stones), Kevin (De Bruyne) dan Benjamin (Mendy). Semua pemain perlu kembali kerana kami memerlukan semua pemain.”
Dengan tiga trofi yang masih mampu untuk digapai, ia nyata memerlukan komitmen tinggi setiap daripada pemain Manchester City.
Dengan kualiti barisan pemain yang dimiliki Pep Guardiola, tidak mustahil buat mereka untuk meraih keempat-empat piala selepas berjaya menjulang Piala Carabao musim ini.