Persatuan Bola Sepak Italy (FIGC) dilaporkan telah mengenal pasti calon pengganti ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali ketika ini, Antonio Conte dan sedang menjalankan kerja-kerja rundingan kontrak.
Menurut calciomercato.com, berita ini disahkan sendiri oleh presiden FIGC Carlo Tavecchio.
Calon pengganti Conte selepas kempen EURO 2016 nanti adalah Giampiero Ventura, bekas pengurus Torino FC pada musim 2015/2016 yang lepas. Ventura, 68, mengatasi calon lain seperti Vincenzo Montella (Sampdoria), Roberto Donadoni (Bologna) dan Gianni Di Biassi (Albania).
Berita ini turut diperkuat dengan berita perlantikan Sinisa Mihajlovic sebagai pengurus baru Torino selepas Ventura meletakkan jawatannya di akhir musim; walaupun baru menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2018.
FIGC dan Ventura kini berada di peringkat terakhir rundingan kontrak yang akan menyaksikan Ventura meraih sekitar kontrak bernilai €2 juta. Rundingan dijangka akan siap sebelum skuad Itali berlepas ke Perancis untuk kempen EURO 2016.
Bakal dibantu Marcello Lippi
Berikutan berita pengesahan Antonio Conte yang akan mengurus Chelsea selepas EURO 2016 nanti, FIGC menemuduga beberapa calon yang akan mengemudi skuad Itali pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018.
Antaranya adalah Eusebio Di Francesco (Sassuolo), Vincenzo Montella (Sampdoria), Roberto Donadoni (Bologna) dan Gianni Di Biassi (Albania).
Donadoni dikatakan agak was-was untuk kembali semula ke jawatan tersebut. Montella dan De Biassi pula masih selesa dengan tugasan mereka sekarang.
Untuk memudahkan kerja Ventura semasa fasa peralihan awal nanti, FIGC turut akan melantik bekas ketua jurulatih Itali yang menjuarai Piala Dunia 2006, Marcello Lippi sebagai pengarah teknikal Itali.
Untuk membantunya dari jawatan penolong ketua jurulatih, Ventura dikatakan akan melantik Fabio Cannavaro.
Murah berbanding calon lain
FIGC mengaku salah satu sebab mereka melantik Ventura adalah kerana nilai kontrak Ventura yang jauh lebih murah berbanding calon-calon jurulatih lain.
Berbanding calon-calon lain yang ‘mahal’ seperti Fabio Capello dan Carlo Ancelotti, Ventura cuma meminta dibayar sekitar €500,000 setahun; jauh lebih rendah daripada bajet mereka.
Kos keseluruhan melantik Ventura hanya akan melibatkan dana sekitar €2 juta setahun.
Ventura tidak asing dengan kerja menggantikan Conte apabila pernah menjadi pengganti Conte di FC Bari ketika Conte berhijrah ke kelab Serie A, Atalanta.
Selepas FC Bari, Ventura kemudiannya dilantik menjadi pengurus Torino dan pernah mengemudi pasukannya ke promosi Serie A pada musim 2011/2012. 2 musim berikutnya, Torino menamatkan musim 2013/2014 Serie A di tangga ke-7.
Pada musim 2014/2015, beliau membantu Torino mara ke pusingan kalah mati UEFA Europa League buat pertama kali sejak 1992.
Mampukah Ventura?
Perlantikan Ventura – jurulatih kurang terkenal di luar Itali – ini mengingatkan kita kepada perlantikan Cesare Prandelli pada tahun 2010.
Prandelli yang cemerlang mengemudi Fiorentina sebelum itu, membawa Itali menjadi naib juara EURO 2012 dan tempat ke-3 Piala Konfederasi FIFA 2013.
Persoalannya, mampukah Giampiero Ventura – seperti Prandelli – memenuhi aspirasi FIGC dan penyokong Azzurri?