Skuad kebangsaan Argentina mendapat suntikan moral selepas pengurus pasukan, Lionel Scaloni kembali memanggil Lionel Messi bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Venezuela dan Maghribi pada 22 dan 26 Mac ini.
Kali terakhir Messi beraksi untuk skuad Argentina adalah pada perlawanan peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2018 bertemu Perancis yang menyaksikan juara kejohanan tersebut menang 4-3.
Desas-desus mengatakan bahawa Messi berkemungkinan mengumumkan persaraan buat kali kedua selepas beliau tidak dipanggil bagi menghadapi enam perlawanan selepas saingan Piala Dunia.
Ternyata perkembangan terbaharu ini memberikan kelegaan buat para penyokong La Albiceleste.
Pada tahun 2016, Messi pernah mengumumkan persaraan daripada kancah bola sepak antarabangsa selepas Argentina tewas menerusi penentuan sepakan penalti bertemu Chile pada perlawanan akhir Copa America.
Messi yang mengambil sepakan pertama pada ketika itu gagal menyempurnakan sepakan tersebut.
Berselang dua bulan kemudian, Lionel Messi kembali membuat ‘u-turn’ dan menyatakan hasrat untuk kembali bersama skuad kebangsaan dengan alasan cintanya terhadap Argentina.
Dalam perkembangan lain, pemain West Ham United, Manuel Lanzini turut kembali dipanggil selepas beliau mengalami kecederaan ligamen ketika persiapan Piala Dunia 2018.
Dua lagi pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Nicolas Otamendi (Manchester City) dan Roberto Pereyra juga menjadi pilihan Scaloni kali ini.
Namun, amat mengejutkan apabila nama Sergio Aguero tidak disenaraikan walaupun penyerang Manchester City merupakan penjaring terbanyak EPL dengan 18 gol setakat ini.