EKSKLUSIF: Nicholas Swirad Tak Sangka Dapat Panggilan Sulung Ke Kem Harimau Malaya

Nicholas Swirad

Senarai 25 pemain untuk kem skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan empat negara, Piala AIRMARINE 2019 telah diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menarik perhatian ramai pastinya adalah penyenaraian beberapa pemain yang belum memiliki kaps antarabangsa antaranya pemain tengah Selangor, Halim Saari dan Faiz Nasir, Firdaus Saiyadi, Hafiz Ramdan serta pertahanan PKNS, Nicholas Ryan Swirad.

Semuanya BOLA berpeluang menghubungi Nicholas Swirad menerusi aplikasi Whatsapp untuk bertanyakan serba sedikit mengenai penggilan pertamanya untuk skuad kebangsaan.

Menurut pemain berasal daripada Manchester, United Kingdom ini, dia tidak menjangkanya dan amat terkejut mendapat panggilan untuk menyertai kem skuad kebangsaan beberapa hari lalu.

“Ia berlaku secara tiba-tiba. Saya masih ingat media bertanyakan kepada saya mengenai sasaran saya pada musim ini dan saya berkata mahu memberikan aksi yang positif untuk PKNS FC.

“Jelas sekali panggilan untuk bersama skuad kebangsaan ini sangat mengujakan dan ia satu bonus buat saya dengan apa yang telah dilalui beberapa bulan ini,” ujarnya kepada Semuanya BOLA.

Nicholas Swirad telah mempamerkan aksi baik di benteng PKNS FC dalam 6 perlawanan bersama Rodney Calvin dan telah merekodkan 4 cleensheet berturut-turut serta menjaringkan dua gol.

FOTO: PKNS FC

Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Nick itu adalah antara rekrut terbaharu skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dan telah dibawa masuk daripada pasukan Melaka United.

Nick merupakan salah seorang pemain berdarah kacukan seperti pertahanan Pahang, Matthew Davies dan Brendan Gan dan ia adalah daripada ibunya yang berasal daripada Pulau Pinang.

Ketika ditanya apakah kelainan yang mampu dihadirkannya untuk benteng skuad Harimau Malaya, Nick hanya mahu berikan yang terbaik kepada skuad yang baginya sememangnya telah kuat.

“Saya rasa ia bukan soalan yang sesuai untuk saya jawab. Apa yang mampu saya katakan, saya akan cuba berikan impak yang positif di benteng dan juga untuk pasukan keseluruhannya,” jelasnya.

Nick turut memaklumkan yang dia boleh beraksi di tiga posisi iaitu pertahanan tengah dan kedua-dua bek sisi namun menurutnya lagi, dia lebih selesa untuk beraksi di pertahanan tengah.

“Jujurnya saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran. Saya akan pergi dengan minda yang segar dan mensasarkan mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin daripada peluang ini,” tambahnya.

Malaysia dijadualkan akan menentang Singapura pada perlawanan pertama pada Rabu, 20 Mac 2019 dan berdepan Oman atau Afghanistan pada Sabtu, 23 Mac 2019 dalam kejohanan tersebut.

Nantikan artikel sesi temubual penuh bersama pertahanan kental PKNS FC ini mengenai perjalanan karier bola sepak dan kehidupannya dalam artikel seterusnya di Semuanya BOLA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN