Porto menyempurnakan sepakan penalti setelah teknologi VAR digunakan untuk menentukan situasi tiga minit sebelum masa tambahan berakhir – untuk menewaskan Roma 3-1 sekaligus laya ke suku akhir UEFA Champions League – pada awal pagi tadi.
Fernando dijatuhkan pada ketika beliau cuba menyambung percubaan rendah Maxi Pereira di hadapan gol. VAR kemudian menyalahkan Alesandro Florenzi kerana menarik baju pemain itu.
Alex Telles tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk memberi kelebihan agregat 4-3 kepada Porto- sekaligus terus memberi tekanan kepada pengurus Roma, Eusebio Di Francesco untuk mengekalkan kedudukan bersama kelab Itali itu.
Ketinggalan 2-1 selepas perlawanan di Rom, Porto tahu mereka perlu berjuang habis-habisan di tempat sendiri untuk mengimpikan sebarang peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.
Pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-26 apabila hantaran rendah Moussa Marega ditolak masuk Tiquinho Soares dari jarak dekat. Jaringan itu cukup untuk memberikan kelebihan kepada Porto, namun Roma menyamakan kedudukan 11 minit kemudian melalui sepakan penalti Daniele De Rossi.
De Rossi bagaimana pun terpaksa dikeluarkan sebelum tamat babak pertama perlawanan akibat kecederaan otot.
Porto sekali lagi berada di hadapan selepas lapan minit perlawanan bersambung apabila Marega melakukan sepakan voli hasil hantaran Jesus Corona. Roma pula terlepas deretan peluang dan harus menyalahkan diri sendiri kerana memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan setelah agregat terikat 3-3.
Kemudian tiga minit sebelum berakhirnya masa tambahan, Porto menyingkirkan Roma dari pertandingan melalui sepakan penalti yang dianugerahkan oleh VAR.
VIDEO: GOAL