Syarikat penerbangan tambang murah nasional, AirAsia secara rasmi menandatangani perjanjian untuk menjadi syarikat penerbangan eksklusif Liga Malaysia bagi musim 2019/2020.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian itu, AirAsia akan menyokong pasukan yang bermain dalam Liga Malaysia dengan menawarkan tambang diskaun untuk mereka terbang dengan syarikat penerbangan itu di seluruh Malaysia dan rantau ini.
Selain itu AirAsia turut memiliki hak untuk menjual tiket perlawanan sama ada menerusi platform rasmi mereka atau pakej bersama tiket penerbangan dan tawaran hotel melalui web rasmi AirAsia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam berkata beliau optimis penampilan AirAsia dalam bola sepak tempatan akan memeriahkan lagi suasana Liga Malaysia akan datang.
“Saya gembira kerana pasukan-pasukan Liga Malaysia akan mendapat manfaat apabila dapat menggunakan khidmat penerbangan AirAsia.
“Ia bukan selalu anda dapat menyaksikan satu syarikat besar apatah lagi menjadi syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia 10 tahun berturut-turut, tampil bersama-sama memeriahkan Liga Malaysia pada kali ini.
“Saya fikir kita semua boleh berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh AirAsia dan kami berharap, dengan kerjasama ini dengan salah satu penerbangan terbaik dunia, suasana bola sepak tempatan akan berkembang ke tahap yang lebih tinggi apabila kami berusaha untuk meletakkan Malaysia di peta bola sepak sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata: “Bola sepak adalah salah satu daripada keghairahan saya dan kini saya berpeluang meneruskan minat saya terhadap sukan nombor satu negara ini melalui AirAsia.
“Pada masa ini kami menaja Liga AirAsia KL Junior untuk memajukan bola sepak belia di Lembah Klang selain kami juga mempunyai pasukan belia kami sendiri, PJ Rangers FC.
“Baru-baru ini, kami juga menyediakan penerbangan untuk peminat Harimau Malaya menyaksikan perlawanan separuh akhir dan final Piala AFF Suzuki di Bangkok dan Hanoi.
“Justeru, perjanjian bersama MFL adalah satu peluang yang luar biasa bagi AirAsia untuk terus menyokong bola sepak Malaysia dan kami bangga dapat memainkan peranan dalam menginspirasikan generasi baru dan menjadikan impian menjadi kenyataan buat para pemain, pasukan dan juga peminat.“