Skuad Harimau Malaya bakal berdepan tugasan penting pada bulan ini apabila dijadualkan menghadapi kejohanan empat penjuru, Piala AIRMARINE 2019 dan beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.
Mengulas mengenai sasaran Malaysia dalam kejohanan tersebut, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mahu skuad kendalian Tan Cheng Hoe bergelar juara bagi melonjakkan kedudukan ranking Malaysia ke tangga 34 Asia.
Hal ini kerana Malaysia perlu mengelak daripada beraksi dalam pusingan play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022. Ketika ini skuad Harimau Malaya berada di ranking ke-167 dunia.
“Selain kejohanan ini, satu lagi perkara penting adalah mengumpul mata bagi meningkatkan ranking negara.
“Ranking Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) yang akan dikeluarkan bulan depan amat penting untuk menentukan kedudukan Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.
“Memandangkan kita akan berdepan Singapura, Tan Cheng Hoe perlu memastikan skuad negara menewaskan pasukan itu dan kemudian menewaskan Afghanistan atau Oman dalam final,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Dalam undian rasmi Piala AIRMARINE, skuad negara diundi bertemu pasukan di tangga ke-165 dunia, Singapura, 20 Mac ini, sebelum bertemu pemenang di antara Oman dan Afghanistan dalam perlawanan akhir. Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal pada 26 Mac ini, bagi mengumpul mata ranking sebelum kelayakan Piala Dunia.
Hari ini, pengendali skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bermula hari Selasa, 12 Mac 2019.
Daripada 25 pemain tersebut, Cheng Hoe mengekalkan seramai 13 pemain dari skuad 23 pemain yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018, Disember lalu tanpa baki 10 pemain lain.
3 pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah pemain tengah dari Selangor, Faiz Nasir, pemain pertahanan PKNS, Nick Swirad dan pemain sayap PKNP FC, Hafiz Ramdan. Hadin Azman yang beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini turut memperkuatkan pasukan.