Bekas penyerang Blackburn Rovers dan juga Celtic, Chris Sutton mempunyai sedikit mesej untuk penyokong Liverpool, selepas pasukan dari Merseyside itu sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Everton pada hujung minggu lalu.
Keputusan tersebut sekaligus membenarkan Manchester City memintas skuad kendalian Jurgen Klopp dengan kelebihan sati mata, berbaki sembilan perlawanan pada musim ini.
Sutton masih percaya
Bercakap kepada BBC Radio 5 Live, Sutton yang pernah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Blackburn berkataL
“Ia adalah perkara tidak masuk akan untuk mengatakan Liverpool telah melepaskan kejuaraan. Yang sebenarnya, penyokong Liverpool yang mulai berfikir demikian. Bukannya pemain,” ujar beliau.
Sekiranya statistik dikaji kembali, apa yang Sutton katakan mungkin ada kebenarannya. Liverpool tidak melepaskan sebarang jaringan dalam lima perlawanan terakhir. Sedikit masalah hanya adalah kerana jentera serangan Liverpool gagal menjaringkan gol yang diperlukan seperti kebiasaan.
Mengapa perlu penyokong menyerah kalah?
Jika anda mengikuti perlawanan membabitkan Liverpool sejak mutakhir ini, anda pasti kagum dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong The Kops di Old Trafford dan juga Goodison Park. Namun betapa bingitnya sokongan yang mereka lemparkan di dalam stadium, atau pun daripada anda yang menonton dari hadapan kaca televisyen-
Satu perkara yang pasti ialah penyokong tidak boleh menjaringkan gol untuk Liverpool, atau menampan bola ketika mahu dibocori.
Impak penyokong adalah terhad kepada memberi sokongan kepada pemain. Apa yang berlaku di luar stadium juga tidak akan membantu pasukan. Sememangnya berlaku terdapat segelintir penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan aspek taktikal Jurgen Klopp, dan meluahkan kekecewaan di media sosial – namun ia tetap tidak akan memberi sebarang kesan kepada situasi di dalam perlawanan.
Nasib Liverpool berada di tangan pemain mereka sendiri. Selepas apa yang mereka capai setakat ini -berbaki sembilan perlawanan- apakah yang membuatkan anda berfikir Liverpool akan menyerah kalah?
Isu di atas padang
Rata-rata pemain menampilkan prestasi yang lebih baik pada musim ini. Namun kita harus jujur juga mengatakan Mohamed Salah dan Roberto Firmino telah gagal mempamerkan magis yang mereka tampilkan pada musim lalu. Benar, mereka menjaringkan gol.
Mereka juga bukan ‘one seasoned wonder’ seperti yang dimomokan oleh penyokong lawan kerana jaringan-jaringan tersebut. Namun ia hanya sekilas daripada kemampuan yang kita tahu mereka mampu lakukan. Konsistensi sedikit hilang.
Di antara ketiga-tiga penyerang utama Liverpool pada musim ini, hanya Sadio Mane yang boleh dianggap berjaya mengekalkan rentak cemerlang dari musim lalu.
Begitu juga di bahagian tengah yang kelihatan tidak mempunyai stabiliti. Naby Keita gah di awal musim, kini kurang memberikan impak kepada pasukan. Perkara ini tidak dibantu dengan kecederaan panjang Alex Oxlade-Chamberlain. Dengan segala masalah ini, Liverpool hanya tewas sekali di dalam perlawanan liga- ketika menentang Manchester City di Etihad pada Januari lalu.
Klopp terlepas peluang?
Empat seri dan satu kekalahan yang dilalui sejak Januari lalu bermakna The Reds telah kehilangan 11 mata. Adakah Klopp akan menyesal kerana tidak menggunakan kesempatan untuk membawa sekurang-kurangnya seorang penyerang sebahai Pelan B pada jendela perpindahan yang lalu?
Salah satu kekurangan Liverpool kendalian Klopp pada musim ini seperti yang amat jelas ketika perlawanan menentang Manchester United dan Everton ialah tiadanya Pelan B sekiranya pemain seperti Salah atau Firmino gagal menampilkan prestasi yang sewajarnya.
Sentiasa ada pelan kedua adalah perkara yang lebih baik daripada tiada pelan lain. Sir Alex Ferguson membawa masuk penyerang veteran, Henrik Larsson pada Januari 2007 sebagai pelan B kepada gandingan Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo selepas kehilangan Ruud Van Nistelrooy ke Real Madrid pada musim panas sebelumnya.
Pelan B seperti yang dilakukan oleh Sir Alex mungkin ada asasnya. Di dalam skuad Liverpool pada hari ini, hanya James Milner pernah merasai tekanan mengejar kejuaraan. Skuad Manchester United pada 2007 turut mengalami cabaran serupa dengan gandingan Wayne Rooney dan Ronaldo yang dianggap masih mentah.
Hasilnya, Manchester United meneruskan rentak untuk muncul juara liga pada musim tersebut.
Rumusan
Klopp mungkin terlepas pandang perkara yang mungkin dianggap kecil untuk bergelar sang juara. Tetapi berbaki 9 lagi perlawanan, nasib Liverpool juga berada di tangan pemain mereka sendiri. Menang kesemua 9 perlawanan, sekurang-kurangnya anda tahu Liverpool telah melakukan yang terbaik walaupun gagal bergelar juara.
Tetapi untuk gundah gulana ketika pasukan anda memerlukan sokongan, ini bukan masanya untuk berbuat demikian. Simpan kritikan itu terlebih dahulu. Ia mungkin diperlukan selepas tamat musim ini- atau dilupakan sekiranya Liverpool menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan Liga Inggeris.
Kepada penyokong Liverpool, usahlah panik! Terus berikan sokongan anda kepada pasukan. You’ll Never Walk Alone!
Nota editor: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak berkaitan dengan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.