Wanda Nara menolak kemungkinan Real Madrid belum lagi melakukan bidaan untuk mendapatkan Mauro Icardi disebabkan kelab Sepanyol itu enggan berhadapan dengan sikap atau melakukan rundingan dengan isteri pemain itu.
Masa depan Icardi di Inter Milan semakin menjadi pertanyaan setelah disisihkan dari skuad utama pasukan itu dalam lima perlawanan. Icardi turut dilucutkan peranan sebagai kapten pasukan sebelum itu.
Kritikan terbuka
Pemain antarabangsa Argentina itu turut mengkritik pihak kelab secara terbuka melalui satu kenyataan di laman Instagram berkenaan beberapa keputusan oleh Inter yang disifatkan sebagai tidak menghormati beliau.
Icardi berpendapat sedemikian kerana sebelum ini beliau telah menunjukkan taat setia bersama kelab dengan menolak beberapa tawaran untuk meninggalkan San Siro.
Namun demikian, keadaan telah berubah dan Inter dilihat bersedia untuk menjual penyerang utama mereka itu pada jendela perpindahan seterusnya- setelah kedua-dua pihak gagal menemui persetujuan untuk kontrak baharu.
Madrid risaukan Nara
Icardi telah dikaitkan dengan Real Madrid untuk seketika. Namun akhbar Marca di Sepanyol melaporkan kelab La Liga itu enggan melakukan rundingan pada jendela perpindahan Januari lalu kerana risaukan isteri pemain tersebut, Wanda Nara yang juga merupakan ejen kepada Icardi.
Ditanya mengenai laporan tersebut, Nara menjawab: “Mauro [Icardi] tidak ke Madrid disebabkan saya seperti laporan di Sepanyol, adalah tidak benar. Kami sangat menghormati Real Madrid.”
Icardi yang menyertai Inter Milan dari Sampdoria pada 2013 telah berbincang mengenai lanjutan kontrak untuk kekal di San Siro sepanjang tahun yang lalu.
Kontrak beliau bersama Inter turut berbaki 2 tahun setengah setelah diperbaharui pada Oktober 2016, turut dipercayai mengandungi klausa pelepasan bernilai €110 juta.
Tanpa Icardi
Icardi telah menjaringkan 15 gol dari 28 penampilan musim ini di semua pertandingan, namun tidak diturunkan beraksi selepas membantu pasukannya mencatat kemenangan 1-0 ke ayas Parma pada 9 Februari lalu.
Ini setelah Icardi mengadu kesakitan di lutut, dan Luciano Spalletti berkata pemain tersebut menarik diri daripada menyertai skuad untuk ke Vienna. Namun pemeriksaan lanjutan oleh pakar perubatan Inter tidak menemui sebarang kecederaan pada pemain tersebut.
Tanpa Icardi, Inter ditewasan 2-1 oleh Cagliari pada hujung minggu yang lalu.