MSL 2019: Pahang Rentap Semangat Juang PKNP FC Dengan Kemenangan 3-0

Pahang

Penguasaan yang ditunjukkan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada babak pertama masih tidak mampu untuk menghalang Pahang bagi mencipta kemenangan 3-0 pada perlawanan kelima saingan unifi Liga Super Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak sebentar tadi.

Separuh masa pertama

Pahang tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan selepas Jose Eduardo Bischofe De Almeida atau lebih dikenali sebagai Ze Love berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua perlawanan.

Ze Love yang tidak dikawal pertahanan PKNP FC dengan tenang menolak bola hasil hantaran lintang yang dilakukan Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, PKNP FC pantas bangkit daripada lamunan untuk kembali mengatur gerakan ke kubu Pahang.

Kesebelasan utama PKNP FC (foto: Pahang FA)

Bertemu lawan yang memiliki barisan pemain berpengalaman dan mempunyai kualiti hebat langsung tidak menghiraukan skuad yang dibimbing Abu Bakar Fadzim itu.

Ia dibuktikan apabila serangan bertali-arus dilancarkan bagaimanapun dinafikan ketangkasan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias yang menyelamatkan lima percubaan tepat kearah gol dicipta jentera serangan PKNP FC pada separuh masa pertama.

Kapten PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan melakukan sepakan percuma yang baik dari jarak jauh, namun percubaan pada minit keenam itu mudah ditangkap kemas Helmi.

Berselang lima minit kemudian, Helmi sekali lagi bertindak cemerlang untuk menepis tandukan yang dilakukan Yashir Armando Pinto Islame setelah penyerang antarabangsa Palestin itu menerima hantaran cantik daripada Giancarlo Lopes.

Tidak cukup dengan percubaan tersebut, Thomas Abbey pula menguji Helmi dalam kawasan penalti menerusi rembatan kaki kiri yang turut dinafikan penjaga gol berpengalaman itu.

Dua percubaan berbahaya dilancarkan pada minit ke-36 dan 40 menerusi Fadhil Idris dan Yashir Pinto juga masih gagal menghasilkan jaringan yang amat diharapkan kem PKNP FC.

Dickson Nwakaeme mempunyai peluang terbaik pada masa kecederaan babak pertama selepas penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi gagal menangkap kemas hasil perebutan bola udara.

Pertahanan PKNP FC bagaimanapun pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

PKNP FC menerima sedikit tamparan selepas pertahanan mereka yang kental merantai pergerakan Dickson, Amani Aguinaldo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Separuh masa kedua

Kealpaan jentera pertahanan tuan rumah pada awal permainan sekali lagi menghantui mereka apabila dibolosi pada minit ke-49 menerusi Dickson.

Dickson melakukan larian solo melepasi kawalan tiga orang pertahanan untuk berhadapan Shafiq dan seterusnya melepaskan percubaan kaki kiri yang berjaya membocori gawang PKNP FC.

Beliau yang telah mencipta jaringan keempat peribadi dalam saingan Liga Super 2019 terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dalam usaha menjaringkan gol tersebut.

Kesebelasan utama Pahang (foto: Pahang FA)

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria turut mendapat peluang menambah jaringan buat Pahang pada minit ke-65 selepas kombinasi menarik bersama Ze Love memberikan peluang buat beliau untuk melepaskan rembatan.

Namun, Shafiq Afifi lebih bersedia untuk menangkap kemas percubaan yang diledakkan dari luar kawasan penalti itu.

Ketika emosi para pemain PKNP FC semakin terganggu akibat beberapa insiden yang berlaku, Pahang menggunakan kesempatan bagi menambah gol ketiga.

Kali ini giliran Norshahrul Idlan Talaha pula meletakkan nama selaku penjaring gol pada minit ke-73 setelah beliau yang menyambut bola hasil larian Ze Love dan kemudiannya mudah memerangkap Shafiq untuk menjadikan kedudukan 3-0.

PKNP FC berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya jaringan saguhati tetapi usaha mereka masih belum mampu untuk menjelmakan jaringan yang diidamkan.

Kemenangan yang diraih Pahang meletakkan skuad Tok Gajah di tangga kedua dengan 11 mata selepas pencabar terdekat, Kedah hanya mencatatkan keputusan seri bertemu PKNS FC di Stadium Darul Aman.

PKNP FC pula masih berada di tangga ke-11 dengan mengumpul satu mata hasil satu keputusan seri dan empat kekalahan dialami.

Kredit foto: Pahang FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN