Ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) masih berbaki 10 perlawanan, pengendali Manchester City, Pep Guardiola sudah mula membicarakan mengenai perancangannya bagi menghadapi musim 2019/20.
Menurut sumber Goal, pengurus kelahiran Sepanyol itu memberi bayangan jelas untuk membawa masuk 4 orang pemain baharu ke dalam pasukan.
Antara posisi yang sudah pasti mahu dimantapkan adalah pertahanan kiri. Langkah tersebut perlu diambil selepas tahap kecergasan Benjamin Mendy dilihat amat merisaukan Guardiola.
Dalam perkembangan yang sama, beliau dikatakan turut mengintai khidmat seorang pertahanan tengah, penyerang dan juga ‘deep lying midfielder’.
Walaupun pemain muda dari Ukraine, Oleksandr Zinchenko semakin menunjukkan peningkatan permainan setakat ini, Guardiola melihat The Cityzens perlu merancang sesuatu untuk musim hadapan akibat sejarah kecederaan yang dialami Mendy.
”Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi kami memikirkan peluang untuk mencari seseorang di posisi tersebut, tetapi saya tidak tahu.”
”Terdapat tiga atau empat posisi yang saya rasakan kami perlu untuk melihatnya dan kami telah mempunyai beberapa idea.”
”Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada akhirnya tetapi ini adalah pilihan, ya, untuk membeli seorang pertahanan kiri,” Guardiola bercakap ketika sidang media sebelum perlawanan menentang Bournemouth.
Ketika ini beberapa pemain muda berbakat besar telah dikaitkan dengan Manchester City, antaranya pemain Leicester City, Ben Chilwell, pertahanan tengah Ajax, Matthijs De Ligt dan juga penyerang berusia 21 tahun yang dipinjamkan ke Eintracht Frankfurt, Luka Jovic.