Terengganu terikat 1-1 dengan pasukan Perak. Terengganu menyamakan kedudukan menerusi jaringan penalti kontroversi oleh Lee Tuck.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Irfan Bakti menggariskan beberapa isu taktikal dan juga isu kemarau gol oleh penyerangnya.
Irfan tuntut aksi lebih baik
Pengendali Terengganu Irfan Bakti jelas tidak begitu berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh pasukan Terengganu terutama sekali di bahagian tengah dan serangan.
Irfan juga mengkritik aksi Sanjar yang tidak cukup berdisiplin ketika berada dalam organisasi tengah. Sanjar terlalu cepat naik ke atas membuatkan Terengganu ‘bocor’ di tengah.
Irfan Bakti juga berpandangan, Perak telah memberikan masalah kepada Terengganu di tengah kerana sentiasa ada kelebihan seorang pemain dalam pertarungan antara pemain.
Irfan berkata: “Separuh masa pertama dan kedua yang berbeza. Pada separuh masa pertama, bahagian tengah kita [Terengganu] terlampau longgar. Kerana Sanjar cepat naik ke depan, jadi tinggal Lee Tuck dan Thierry Bin sahaja di tengah. Sedangkan mereka [Perak] sentiasa ada 5 pemain di tengah, dan kita cuma ada 4.”
“Pada separuh masa kedua kita ubah perkara ini. Kita tidak mahu pasukan lawan bermain di tengah. Pasukan lawan ada kelebihan fizikal, kita tidak kalah daripada aspek itu.”
Menurut Irfan, Sanjar seorang penghantar bola yang baik, namun kebanyakan hantaran pemain itu tidak mencetuskan bahaya – terlalu banyak hantaran ke sisi (neutral passes).
Irfan Bakti menyatakan pada separuh masa kedua mereka berjaya memperbaiki aspek permainan di tengah. Malangnya kesilapan Lee Tuck telah menghantar bola kepada lawan dan mencetuskan gol pasukan Perak.
Seterusnya Irfan Bakti mengakui Terengganu sukar untuk melaksanakan gerakan daripada bahagian sayap.
Mereka menunggu lama sehinggalah pada separuh masa kedua – barulah mereka dapat memecah masuk (penetrate) daripada sebelah kiri. Ini dengan pertukaran pemain yang dilakukan dengan memasukkan Shahrul Aizad dan Ashaari Shamsuddin.
Irfan Bakti kemudian berterus terang dengan media bahawa beliau sudah bersemuka dengan Tchetche Kipre berikutan aksi kurang memuaskan pemain itu setakat ini.
“Saya sudah bagi amaran kepada penyerang Terengganu yang kekeringan gol selepas 5 perlawanan. Sekiranya Tchetche tidak dapat melakukan sesuatu [memperbaiki prestasi], kita terpaksa bagi surat amaran. Beliau adalah penjaring kedua terbanyak musim lepas, jadi beliau haruslah mulai mempamerkan prestasinya”
Irfan menegaskan Tchetche menunjukkan peningkatan di dalam aksi beliau. Dan Irfan berharap pemain itu akan berjaya mendapatkan sentuhan gol beliau semula.
Ditanya kenapa Abdul Malik Mat Arif tiada dalam senarai pasukan. Irfan menyatakan pemain itu terpaksa pulang ke kampungnya kerana ibunya terjatuh di bilik air.
Seterusnya Irfan Bakti mahukan lebih variasi di dalam percubaan gol oleh pasukan Terengganu.
“Terengganu musim ini – kesemua 4 gol setakat ini dijaringkan dari dalam kotak penalti. Hanya Lee Tuck dan Sanjar yang mahu melakukan percubaan dari luar kotak. Namun Sanjar seharusnya ada sedikit sikap lebih tamak apabila ada peluang melakukan percubaan dari luar kotak penalti.”
Memberikan komen tentang gol penalti pula, Irfan Bakti menyatakan itu sebahagian daripada bola sepak, tiada istilah gol nasib. Beliau menegaskan gol tetap gol.
“Dalam bola ni gol tetap gol. Kalau kita tanya mereka, memang tidak kena Lee Tuck pun. Cuma saya tegaskan, gol tetap gol. Dalam bola sepak ini tiada istilah gol nasib.”
Irfan Bakti memuji prestasi bek berempat beliau yang disifatkannya bermain baik.
Seterusnya, menjelang aksi menentang Melaka selepas ini, Irfan berpendapat Melaka pasukan yang kuat. Dan Irfan sedikit lega kerana dalam aksi menentang Perak, pasukannya kelihatan lebih baik bertahan dalam situasi bola mati.
Selepas 5 perlawanan, Irfan Bakti menggariskan bahawa pasukan Terengganu buat masa ini masih ada isu dengan kurang keyakinan apabila dalam situasi ada bola. Namun beliau merasakan Terengganu sudah meningkat dari segi semangat dan motavasi.