Penalti tiba-tiba sahaja menjadi ‘isu besar’, lantas menjadi bualan penyokong-penyokong bola sepak Malaysia- terutama sekali di alam maya. Timbul pelbagai spekulasi seperti kononnya pengadil berat sebelah kepada pasukan-pasukan tertentu. Tidak kurang juga yang meragui kemampuan pengadil untuk mengendalikan satu-satu perlawanan.
Anda boleh berkata apa sahaja. Spekulasi hanya sekadar spekulasi sehingga ianya dibuktikan sebaliknya. Pengadil juga merupakan manusia biasa seperti kita – yang tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Ini bermakna keputusan pengadil mungkin salah. Begitu juga dengan tanggapan-tangapan yang bermotifkan apa pun agenda yang berlapikkan andaian.
Duduk dan jangan lari. Kami senaraikan juga 5 penalti yang diberi atau dinafikan oleh pengadil, dan dianggap sebagai keputusan pelik oleh pengadil.
1. Belanda vs Portugal (2006)
Perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2006 yang menemukan Belanda dan Portugal dianggap luar biasa kerana layangan lebih sedozen kad kuning kepada pemain dari kedua-dua pasukan. Empat kad merah, 16 kad kuning dilayangkan oleh pengadil Rusia, Valentin Ivanov dalam perlawanan ini sehingga Presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter berkata, pengadil juga berkemungkinan menerima kad kuning dalam perlawanan ini.
Namun demikian ianya agak pelik mengapa Valentin tidak menghukum Nuno Valente yang menghulur kaki ala sepakan kungfu Eric Cantona ke arah dada Arjen Robben- walaupun ia jelas kekasaran yang menjurus kepada sepakan penalti. Luis Figo pula sekadar menerima kad kuning kerana menanduk Mark van Bommel selepas itu.
2. Dundalk v Derry City (1988)
Jika anda berpendapat kontroversi melibatkan sepakan penalti hanya akan mendapat perhatian di kejohanan antarabangsa atau pertandingan peringkat tertinggi sahaja, maka anda silap. Pada 1988 perlawanan akhir Piala FA Ireland dimenangi oleh Dundalk F.C dengan jaringan 1-0 ke atas Derry City F.C. Kalah menang perkara biasa.
Namun hakikat perlawanan tersebut dimenangi disebabkan penalti semata-mata hanya kerana ada sedikit ‘contact’ yang lebih lembut daripada kulit bayi, telah menimbulkan banyak persoalan. Pemain Dundalk, Larry Wise menerima hantaran dari sebelah kanan kotak penalti lawan. Tindakan Martin Bayly yang hanya menyentuh lengan Wise, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak meniupkan wisel dengan nyaring untuk memberikan penalti. Tak percaya, saksikan rangkuman video di bawah:
3. Brisbane Roar vs Perth Glory (1982)
Ini mungkin pemberian sepakan penalti paling teruk sepanjang zaman. Brisbane Roar diberikan sepakan penalti oleh pengadil selepas salah seorang pemain mereka sendiri tersalah sepak bola, sebelum terjatuh. Besart Berisha, pemain yang didakwa dijatuhkan bagaimanapun meraikan pemberian penalti itu seolah-olah beliau telah dibentes dengan teruk oleh pemain pertahanan lawan.
Berisha menyempurnakan penalti tersebut, dan Perth Glory tidak mampu kembali bangkit dalam perlawanan akhir A-League Grand Final itu. Jelas sekali pengadil perlawanan, Jarred Gillett telah melakukan kesilapan.
4. Manchester United vs Manchester City (1996)
Derby Manchester sentiasa menjadi tumpuan walaupun sebelum Manchester City diambil alih oleh jutawan Abu Dhabi. Namun demikian, insiden ini membuatkan pemain kedua-dua pasukan terpinga-pinga dengan tindakan pengadil yang secara tiba-tiba memberikan sepakan penalti kepada United.
Bermula dari sepakan Ryan Giggs, bola seolah-olah gagal menemui sasaran. Michael Frontzeck kelihatan seperti memegang Eric Cantona- namun tidak ada perkara yang serius berlaku. Secara tiba-tiba pengadil menganugerahkan penalti. Tidak kira berapa kerap anda cuba menilai video ulang tayang perlawanan, anda pasti tercari-cari di manakah kekasaran yang dimaksudkan pengadil.
5. Jerman vs Perancis (1982)
Ini adalah salah satu antara kekasaran terburuk yang pernah berlaku di dalam bola sepak dan tidak dihukum oleh pengadil. Insiden di dalam kotak penalti Jerman itu berlaku apabila penjaga gol, Harald ‘Toni’ Schumacher melakukan rempuhan berbahaya terhadap pemain Perancis, Patrick Battiston. Kesan rempuhan tersebut, Battiston terpaksa diusung keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pemain tersebut turut mengalami patah gigi dan tulang vertebra selain daripada terpaksa mendapat bantuan oksigen ketika rawatan. Rakan sepasukan, Michel Platini kemudiannya berkata beliau ingatkan Battiston telah maut – kerana tidak menunjukkan nadi selepas rempuhan. Anehnya Schumacher bersikap seolah-olah tindakan beliau itu adalah perkara biasa.
Rumusan
Kami percaya ada banyak lagi sepakan penalti meragukan, atau pun keputusan yang tidak memihak kepada pasukan walaupun jelas ianya adalah sepakan penalti. Bagaimana anda mahu menjelaskan kekasaran seperti yang berlaku terhadap Patrick Battiston? Atau pun penalti yang diberikan kepada Manchester United secara tiba-tiba dalam perlawanan derbi?
Daripada contoh di atas, kita boleh simpulkan kesilapan boleh berlaku di mana sahaja sama ada di perlawanan berprofil tinggi atau pun tidak. Perkara terpenting untuk dilihat ialah bagaimana kita mahu menanganinya?