Kualiti jentera serangan Manchester United yang mempamerkan peningkatan ketara dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer tidak boleh dipertikaikan.
Namun bagi Romelu Lukaku, beliau memandang dari sudut berbeza apabila menyifatkan Luke Shaw telah memainkan peranan yang cukup berkesan buat The Red Devils.
Penyerang antarabangsa Belgium itu juga turut melabelkan Shaw sebagai pemain terbaik buat Manchester United pada musim ini.
”Semua orang bercakap tentang bahagian serangan yang sangat baik tetapi pertahanan juga telah melakukan tugasan dengan baik.”
”Chris Smalling yang beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir amat cemerlang dan Luke Shaw merupakan pemain terbaik pada musim ini pada pandangan saya. Dia sangat cemerlang sejak dari mula.”
”Ashley Young juga begitu konsisten dan David De Gea adalah penjaga gol terbaik dunia.”
”Dari posisi tengah hingga ke depan, kami cuba untuk membantu dan memastikan pertahanan mendapat tugas yang mudah. Kami melakukannya (perlawanan bertemu Liverpool) dan ia adalah berkaitan pasukan.”
Lukaku turut melihat Shaw yang berusia 23 tahun itu mampu untuk menjadi pemain pertahanan kiri terbaik dunia.
”Dia sentiasa mempunyai potensi untuk menjadi salah seorang pemain pertahanan kiri terbaik di dunia, sejak dari saya beraksi menentangnya ketika dia beraksi untuk Southampton sehingga sekarang.”
”Dia telah mengalami kecederaan tetapi sekarang dia telah kerap beraksi dan saya sangat gembira untuknya.”
”Anda tidak boleh melihat Luke (Shaw) sebagai prospek ketika ini, pada usianya, dia merupakan pemain yang hebat dan konsisten. Apa lagi yang anda mahu daripadanya?”