Kerusi panas pengurus Leicester City kosong pada Sabtu lalu selepas Claude Puel ditunjukkan jalan keluar apabila The Foxes mengalami kekalahan ke-13 dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini serta menerima kekalahan kelima dalam enam perlawanan terakhir liga setakat ini.
Keadaan tersebut menyebabkan nama pengendali Celtic, Brendan Rodgers turut dikaitkan bagi mengisi kekosongan di King Power Stadium itu.
Rodgers, 46 tahun bagaimanapun memberikan isyarat jelas bahawa beliau hanya mahu untuk memberikan fokus terhadap pasukan yang sedang dibimbingnya.
Bagi Rodgers yang sudah selesa dengan kerjaya cemerlang di Celtic mahu terus fokus dalam usaha mengemudi gergasi Scotland tersebut.
”Tugas saya adalah untuk menumpukan perhatian terhadap aspek bola sepak, dan ia adalah bersama Celtic.”
”Saya telah berada di sini (Celtic) selama dua setengah tahun dan dan saya telah ditanya soalan yang sama, mesej saya sentiasa sangat, sangat jelas, saya sangat menumpukan terhadap permainan.”
Menyertai Celtic pada tahun 2016, Rogers telah berjaya mengemudi kelab tersebut menyapu bersih kesemua enam piala bagi musim 2016/17 dan 2017/18 iaitu Scottish Premiership, Scottish Cup dan Scottish League Cup.
Dalam kancah bola sepak di England pula, beliau pernah membimbing Watford, Reading, Swansea City dan yang terakhir ialah Liverpool.
Mungkin belum masanya lagi buat Brendan Rodgers untuk kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris.