Semalam Datuk Amizal Shaifit meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA). Beliau menyatakan tindakan diambil kerana memikirkan keselamatan keluarganya.
Amizal menyatakan bahawa beliau banyak mendapat ugutan sejak kemelut yang melanda bola sepak Perlis. Amizal meminta maaf kepada penyokong Perlis dan berharap Singa Utara akan bangkit semula.
Namun begitu Exco PFA menyatakan terkejut dengan perletakan jawatan itu dan menganggap ianya tindakan tidak bertanggungjawab. Mereka mahukan Datuk Amizal Shaifit bertanggungjawab di atas beban hutang pasukan terutama sekali yang berlaku pada era pengurusan beliau.
Amizal menjadi orang penting dalam membawa nama-nama besar, bekas pemain kebangsaan ke dalam pasukan Perlis. Amizal enggan memberikan komen beliau di atas berita yang menyatakan ahli Exca PFA mahu Amizal bertanggungjawab. Ini kerana beliau tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Dipetik dari Utusan Malaysia, Amizal berkata: “Saya tidak mahu komen tentang desakan agar saya bertanggungjawab kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.”
“Keutamaan saya masa ini adalah keselamatan keluarga. Sejak kemelut ini berlaku, sehingga semalam saya dan keluarga saya menerima ugutan – termasuk isteri, ibu bapa dan anak saya.”
Beliau berkata akan membuat laporan polis sekiranya perlu. Amizal memberitahu beliau sudah mencuba sedaya upaya menyelesaikan isu yang melanda namun gagal.
Amizal turut menyatakan sepanjang tempoh menjadi Presiden PFA, beliau telah menggunakan wang beliau sendiri untuk menguruskan pasukan termasuk ketika membawa Perlis menempuhi pra musim di Thailand.
Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan antara yang meluahkan ketidakpuasan hati di atas tindakan Amizal. Abdul Karim menyatakan: “Beliau harus bertanggungjawab menyelesaikan segala tunggakan gaji pemain selaras dengan perjanjian ketika beliau mengambil alih PFA pada Oktober tahun lalu.”