Akibat kekalahan 1-2 yang dialami Tottenham Hotspur ditangan Burnley malam tadi, pengurus pasukan, Mauricio Pochettino seolah-olah mengangkat bendera putih dalam usaha merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ketika Harry Kane sudah kembali beraksi dan berjaya menjaringkan gol penyamaan bagi memadamkan kelebihan yang dicipta Chris Wood, Pochettino dan anak buahnya sudah pasti kecewa dek kerana jaringan kemenangan Burnley pada minit ke-83 yang dihasilkan Ashley Barnes.
Ketika ditanya wartawan Sky Sports adakah peluang buat Tottenham Hotspur sudah berakhir dalam usaha merebut kejuaraan EPL, ini adalah jawapan Mauricio Pochettino:
”Ya. Kami sangat kecewa kerana terdapat baki 11 perlawanan, jurang mata boleh menjadi lebih besar,”
”Sudah tentu, masih banyak lagi perlawanan untuk dilalui tetapi pada hari ini (malam tadi), dalam fikiran saya, kami perlu mendapatkan tiga mata untuk terus memberikan tekanan buat mereka (dua pasukan teratas).”
Dalam pada itu, pengurus kelahiran Argentina itu turut menegaskan bahawa skuadnya hanya boleh menyalahkan diri sendiri diatas kegagalan mengutip tiga mata penuh.
”Kesilapan kami dan hanya kerana kami. Kami tidak boleh menyalahkan orang lain, hanya diri kami kerana kami tidak mampu untuk menang.”
Perjalanan Spurs dalam saingan EPL selepas ini sememangnya berliku apabila bakal bertemu dua lawan dari London, Chelsea di Stamford Bridge pada 28 Februari manakala tiga hari kemudian, akan menanti kunjungan Arsenal di laman sendiri.