Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi mengumumkan penyerang dari Argentina, Leandro Velazquez akan menggantikan slot pemain import yang ditinggalkan oleh Aaron Niguez.
Ini bukan pertama kali Leandro beraksi bersama JDT – setelah penyerang berusia 29 tahun ini turut pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan selama semusim, pada 2015.
Leandro tampil dalam 29 perlawanan dan menjaringkan 16 gol pada ketika itu. Leandro juga merupakan wira JDT apabila turut tampil sebagai salah seorang penjaring gol di perlawanan akhir Piala AFC 2015.
Pemain itu kemudiannya beraksi bersama Deportivo Pasto di Colombia dan Veracruz di Liga MX, Mexico – sebelum diumumkan sebagai pemain import JDT sebentar tadi.
Kepulangan mengejutkan
Keputusan JDT untuk mengambil semula Leandro Velazquez sebenarnya agak mengejutkan. Ini kerana JDT mempunyai pilihan untuk membawa masuk mana-mana pemain import yang ada di JDT II bila-bila masa sahaja, tanpa perlu menunggu jendela perpindahan dibuka semula Mei nanti.
Selain daripada itu, JDT turut mempunyai pemain tempatan seperti Syafiq Ahmad yang telah beraksi cemerlang dalam tiga perlawanan untuk kelab dari selatan tanah air itu di posisi tersebut.
Kemasukkan kembali Leandro juga bermakna JDT tidak lagi mengikuti polisi yang mereka wujudkan sendiri sebelum ini.
Pada tahun lalu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sendiri pernah mengatakan Kelab Bolasepak JDT tidak akan mengambil semula pemain yang pernah berkhidmat untuk kelab dan itu adalah polisi terbaru kelab yang dititahkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.
Alistair turut berkata jika ada pemain yang ditandatangani, ia adalah pemain baharu, bukan bekas pemain JDT.
Dengan perubahan terbaru ini, adakah bermakna JDT telah membatalkan polisi sebelum ini, sekaligus membuka kembali pintu mereka kepada bekas pemain yang pernah beraksi bersama mereka.