Atletico Madrid merakamkan kejutan terbesar di saingan Liga Juara-Juara setakat ini apabila menewaskan Juventus 2-0 di Estadion Wanda Metropolitano pada awal pagi tadi.
Untuk itu, kelab yang merupakan seteru setempat Cristiano Ronaldo ketika pemain itu amsih bersama Real Madrid, harus berterima kasih untuk dua jaringan daripada pemain pertahanan tengah – yang dihasilkan melalui gerakan set pieces.
Bangkit dari keputusan VAR
Dua kali skuad kendalian Diego Simeone dinafikan oleh VAR dalam perlawanan ini. Pertama, Atletico dinafikan sepakan penalti selepas Diego Costa dijatuhkan oleh Mattia de Sciglio – walaupun sepakan diberikan oleh pengadil sebelum semakan dilakukan.
Kemudian, jaringan bekas penyerang Chelsea, Alvaro Morata dibatalkan oleh VAR kerana kekasaran yang dilakukan terhadap Giorgio Chiellini -dalam proses jaringan tersebut dilakukan.
Namun ianya seperti tertulis, malam tersebut adalah milik Atletico dan bukan Juventus. Jose Maria Gimenez terlebih dahulu memanfaatkan bola yang gagal dihadang kemas Mario Mandzukic selepas tandukan Morata – untuk Atletico mendahului 1-0 pada minit ke-78 perlawanan.
Kemudian Diego Godin menjaringkan gol separa voli, yang turut terbias daripada Cristiano Ronaldo untuk jaringan kedua perlawanan pada minit ke-83.
Kelebihan Atletico tetapi tempang
Kemenangan 2-0 ke atas Juventus di tempat sendiri bermakna Atletico akan bertandang ke Stadium Allianz di Turin dengan kelebihan. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada 12 Mac hadapan untuk menentukan siapakah yang lebih layak mara ke peringkat suku akhir.
Bagaimanapun Diego Simeone harus memikirkan siapakah yang akan menggantikan pemain penyerang, Diego Costa, dan pemain tengah, Thomas Partey untuk kunjungan ke Itali nanti selepas kedua-dua pemain dilayangkan tiga kad kuning maksimum dalam pertandingan ini.
Bek kiri Juventus, Alex Sandro turut akan terlepas perlawanan seterusnya atas sebab yang sama.
Mimpi ngeri Ronaldo
Jelas sekali ini bukan apa yang Ronaldo inginkan, saat beliau kembali menjejakkan kaki ke Madrid.
Peluang terbaik pemain ini adalah rembatan deras dari sepakan percuma yang dinafikan Jan Oblak.
Secara keseluruhan, pemain berusia 34 tahun ini mempunyai tujuh percubaan, namun hanya satu yang menepati sasaran sepanjang perlawanan.
Video: Goal