Gara-gara kerana kritikan terbukanya terhadap mutu pengadilan selepas perlawanan Liga Super di antara Melaka United menentang Pahang Sabtu lalu, tonggak import skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme bakal diberi surat tunjuk sebab oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut laporan daripada Stadium Astro, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP (B) Md Dali Wahid, sedang meneliti ulasan yang dibuat pemain dari Nigeria itu dan akan membawa kes tersebut ke mesyuarat jawatankuasa.
“Saya akan bawa perkara ini kepada sekretariat dan kami akan siasat dulu. Saya memang baca perkara itu tetapi kami akan kaji. Jika segalanya tepat, sekretariat akan menghantar surat tunjuk
sebab,” katanya.
Beliau turut menasihatkan mana-mana jurulatih dan pemain yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlu menggunakan saluran yang betul.
“Saya tidak mengatakan pengadil tidak boleh ditegur. Itu bukan caranya. Apa yang betul tetap betul, apa kesalahan yang dilakukan pengadil tetap salah. Saya memberitahu pengadil bahawa mereka perlu tegas dan adil.” jelasnya.
Sebelum ini, media tempatan turut melaporkan dua jurulatih Liga Super, iaitu pengendali Selangor, B. Sathianathan, dan Abu Bakar Fadzim (PKNP FC) diberi surat tunjuk sebab oleh FAM berhubung kritikan mereka ke atas pengadil selepas perlawanan.
Nwakaeme dalam kenyataannya di Stadium Astro, beliau cuma berharap FAM dapat memperbaiki kualiti pengadilan supaya pelbagai kontroversi tidak berlaku lagi di masa yang akan datang.
“Bola sepak Malaysia kini semakin bagus dan telah meningkat berbanding sebelum ini tetapi saya rasa pengadil masih sama. Jadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan sesuatu terhadap situasi ini,” kata Nwakaeme.
Mengulas lanjut, Nwakaeme juga mahu pengadil dalam Liga Malaysia dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak bias kepada mana-mana pasukan.
“Saya tidak pernah suka mengkritik pengadil kerana mereka menjalankan tugas. Kadangkala, mereka jujur dan ada waktu tidak tetapi percaya pada saya, keputusan itu tidak adil dan baik. Saya harap ia dapat diubah untuk masa akan datang.” jelasnya.