Perlis Akhirnya Terpaksa Ucap Selamat Tinggal, MFL Umum Pembatalan Penyertaan Dalam Liga Malaysia

Perlis

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penyertaan pasukan Perlis dalam Liga Malaysia musim ini dibatalkan berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara untuk menyingkirkan Perlis selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan bagi terus bertahan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata, keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Perlis dibuat selepas mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas tarikh akhir Isnin lalu (18 Februari 2019).

Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Jelas Kevin, MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka dan akhirnya satu keputusan perlu dibuat bagi memastikan ia tidak memberi kesan lebih buruk kepada pemain-pemain dan Liga Malaysia itu sendiri.

“Selepas mengambil kira segala aspek, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara untuk membatalkan penyertaan Perlis pada Liga Premier musim ini.

“Faktor utama keputusan pembatalan Perlis bermain Liga Premier musim ini disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancangan kewangan yang menyakinkan untuk mereka terus bertahan.

“Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumkan dahulu keputusan melibatkan Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak. Ahli Lembaga Pengarah kini sedang menilai kes enam lagi pasukan itu dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

“Dengan keputusan ini, kami prihatin dengan kemelut yang bakal dihadapi pemain Perlis. Justeru itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain-pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini bagi memberikan ruang kepada mereka mencari pasukan baharu memandangkan tempoh pendaftaran pemain akan ditutup pada jam 11.59 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Terdahulu, Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Premier selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke unifi Liga Super susulan penarikan diri Felcra FC.

Pemilihan Perlis itu dibuat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka permohonan kepada pasukan berminat dan akhirnya mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan menjadi faktor pemilihan Perlis untuk bermain dalam Liga Premier musim ini.

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan MFL telah membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari menyelesaikan masalah tunggakan gaji sementara MFL menyekat geran tahunan mereka pada 28 Disember lalu.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie telah diminta menyerahkan segala bukti dokumen kedudukan kewangan mereka sebelum 15 Februari lalu namun maklumat diberikan tidak cukup dan PFA diberikan tempoh 48 jam lagi untuk menyerahkan dokumen tambahan itu.

Tamat

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN