Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali dilihat menjalani sesi latihan bersama kelab Petaling Jaya City FC di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) petang semalam.
Meskipun belum ada pengumuman rasmi namun gambar beliau bersama kelab tersebut tular di media sosial sekaligus mengesahkan beliau akan menyertai skuad kendalian K. Devan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Safee Sali yang menyarung jersi Perlis sebelum ini menjalani latihan pertamanya bersama pasukan baharu PJ City FC di USIM Nilai.
Pengumuman secara rasmi bakal diadakan esok oleh pengurusan pasukan.
Laporannya dalam segmen sukan. pic.twitter.com/txPlmwh6in— mail (@mailNewsMPB) February 19, 2019
Bercakap kepada Berita Harian, penyertaannya bersama PJ City dilihat bagaikan ‘nyawa kedua’ dalam karier profesionalnya setelah dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji dengan pasukan Perlis FA.
“Apa yang berlaku sebenarnya ada pro dan kontra dan mungkin ini satu peluang dan ruang kepada saya. Sekarang saya mahu fokus dengan kelab baharu dan ingin lupakannya (masalah di Perlis) secepat mungkin.
“Jadi selepas ini saya harap dapat beraksi dengan lebih tenang. Saya mahu beri fokus sebagai pemain bola sepak dan yang lebih utama saya akan memikirkan soal prestasi atas padang,” katanya kepada wartawan BH.
PJ City dijangka membuat pengumuman rasmi hari ini mengenai kemasukan dua pemain baharu mereka dan kelab tersebut kelihatan begitu serius mahu menjadi pencabar dalam saingan Liga Super musim ini.
Safee bagaimanapun mendoakan yang terbaik kepada bekas rakan sepasukannya di Perlis dan berharap mereka terus berjaya pada masa yang akan datang.
“Saya doakan mereka berjaya dalam saingan Liga Perdana. Saya sudah tiada lagi (bersama Perlis) dan saya hanya mampu doakan mereka terus berjaya,” katanya.