Tonggak import Pahang, Dickson Nwakaeme mengakui corak permainan Liga Malaysia semakin meningkat namun beliau kecewa kerana mutu pengadilan masih tidak berubah dan ditakuk lama.
Menurut kenyataannya dalam Stadium Astro, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat memperbaiki kualiti pengadilan supaya pelbagai kontroversi tidak berlaku lagi di masa yang akan datang.
“Bola sepak Malaysia kini semakin bagus dan telah meningkat berbanding sebelum ini tetapi saya rasa pengadil masih sama. Jadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan sesuatu terhadap situasi ini,” kata Nwakaeme.
Keputusan pengadil dilihat mengganggu rentak permainan skuad Tok Gajah apabila gagal mengutip 3 mata penuh ke atas Melaka United kelmarin.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila pengadil melayangkan kad merah kepada Azam Azih dan menghadiahkan sepakan penalti di minit akhir perlawanan.
Mengulas mengenai situasi tersebut, Nwakaeme berharap pengadil dalam Liga Malaysia dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak bias kepada mana-mana pasukan.
“Saya tidak pernah suka mengkritik pengadil kerana mereka menjalankan tugas. Kadangkala, mereka jujur dan ada waktu tidak tetapi percaya pada saya, keputusan itu tidak adil dan baik. Saya harap ia dapat diubah untuk masa akan datang.” jelasnya.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua jurulatih pasukan Liga Super kerana meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan.
Tindakan berkenaan diambil oleh badan induk itu bagi menjaga integriti pengadil dan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana. Berdasarkan laporan media tempatan, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dan jurulatih Selangor, B Sathianathan didakwa mengkritik pengadil perlawanan Liga Super.