Saingan Liga Super musim 2019 baru sahaja melalui dua perlawanan, namun Kuala Lumpur menjadi pasukan yang pertama mengugurkan pemain import mereka dari Indonesia, Achmad Jufriyanto.
Meskipun bekas pemain Persib Bandung itu masih mempunyai baki kontrak sehingga bulan November depan, khidmat beliau tidak dapat digunakan dalam beberapa perlawanan disebabkan oleh kecederaan pergelangan kaki.
Justeru itu, pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) terpaksa mengosongkan slot pemain import Asean dengan menamatkan kontrak pemain itu kerana gagal menunjukkan perkembangan positif untuk pulih dengan segera.
Bagaimanapun, pemain yang berusia 32 tahun itu akur dengan keputusan KLFA dan sudah mencapai persetujuan bersama.
“Saya sudah mencapai kata sepakat dengan KLFA untuk mengakhiri kerjasama ini.
“Saya tidak lagi bergelar pemain skuad Warga Kota kerana tidak mahu menyusahkan pasukan,” katanya dalam Stadium Astro.
Kuala Lumpur jelas pincang tanpa kudrat import di benteng akhir mereka yang menyaksikan pasukan itu dibelasah dua pasukan handalan, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam dua perlawanan pertama musim ini.
“Saya dilanda kecederaan pergelangan kaki. Biarpun tahap kecederaannya tidak serius, ia memerlukan masa untuk pulih.
“Ia situasi kecederaan yang rumit kerana sesekali saya akan berasa sakit..
“Saya ingin menjalani pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi,” tambahnya.
Jufriyanto akan kembali ke Indonesia untuk menjalani rawatan pemulihan dan sedang menimbangkan tawaran beberapa kelab dari Liga Indonesia.